
SHAH ALAM: Kenyataan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berhubung isu pemegang tauliah agama dilihat mengelirukan dan menimbulkan persepsi bahawa tauliah agama dijadikan alat menekan pendakwah.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, teguran terhadap pemerintah dalam perkara hukum hakam agama bukanlah satu bentuk jenayah atau kebencian, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang dituntut agama.
“Teguran bukan kebencian, tapi tuntutan agama. Islam meletakkan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ke atas bahu setiap pendakwah, termasuk dalam menegur pemerintah apabila berlaku pelanggaran terhadap hukum syarak.
“(Juga terhadap) Pengabaian terhadap fatwa atau ketidaktegasan dalam memelihara institusi Islam. Menjadikan teguran seperti ini sebagai ‘menyemai kebencian’ adalah satu tuduhan berat, tidak berasas dan boleh mematikan suara dakwah,” katanya dalam satu kenyataan
Tambah beliau, tauliah adalah amanah ilmu yang tidak seharusnya dijadikan alat ugutan kuasa dan pemegang tauliah bukanlah penghasut, sebaliknya pewaris tugas para anbiya’ dalam membimbing masyarakat dengan hikmah dan kesabaran.
“Para ulama terdahulu tidak pernah berdiam diri apabila syariat Allah dipinggirkan. Apakah kini, para pendakwah tidak boleh menyuarakan pandangan agama apabila melibatkan dasar kerajaan, hanya kerana bimbang tauliah mereka akan digantung?
“Mengaitkan pengguguran tauliah dengan menyemai kebencian terhadap pihak pemerintah memberi gambaran seolah-olah tauliah adalah hak eksklusif yang boleh ditarik sesuka hati jika seseorang pendakwah tidak selari dengan selera politik pihak berkuasa.
“Hormati adab dan peranan pendakwah. Kami menyeru agar para pemegang amanah dalam pentadbiran agama negeri bersikap adil dan terbuka terhadap kepelbagaian pandangan dalam kalangan pendakwah,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada institusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai pelaksana dasar keagamaan, namun berharap agar keputusan berkaitan tauliah tidak dipengaruhi tekanan politik sempit.
“Pemuda PAS Selangor akan terus mempertahankan para asatizah dan pendakwah yang ikhlas menyampaikan ilmu dengan tanggungjawab, dan kami tidak akan berdiam diri jika wujud tekanan terhadap golongan ini.
“Hanya kerana mereka berani menegur dengan ilmu dan akhlak. Saya menyeru semua pihak agar berhenti daripada mengaitkan teguran terhadap pemerintah dalam isu agama sebagai tindakan menyemai kebencian. Dakwah perlu bebas daripada ugutan.
“Dan para pendakwah perlu dilindungi daripada manipulasi politik. Kami akan terus memperjuangkan ruang dakwah yang adil, terbuka dan berpaksikan ilmu serta kebenaran syarak. Jangan padamkan suara agama hanya kerana ia tidak selari dengan kemahuan kuasa,” katanya.
Semalam, Fahmi dalam satu kenyataan mengingatkan pemegang tauliah mengajar MAIS supaya tidak menyalahgunakan kelebihan berkenaan untuk kepentingan peribadi termasuk politik kepartian.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak teragak-agak untuk menggantung tauliah jika terdapat aduan berasas diterima, seterusnya menarik balik tauliah jika aduan yang diajukan terbukti benar. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











