
AYER KEROH: Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan Kerajaan Melaka untuk menghidupkan semula persembahan tari ronggeng sebagai sebahagian daripada program pelancongan negeri.
Beliau berkata, langkah itu tidak mencerminkan nilai budaya Melayu Islam di Melaka, malah menyerupai hiburan terbuka seperti kelab malam yang tidak wajar dijadikan tatapan umum.
“Saya cukup kesal dan membantah niat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk menghidupkan semula tari ronggeng. Apa sebenarnya yang difikirkan oleh Ketua Menteri Melaka? Apakah Datuk Seri Rauf sudah ketandusan idea?
“Tari Ronggeng atau joget lambak bukan asal dari Melaka. Ia berasal dari Jawa. Sedikit pun tidak melambangkan budaya Melayu Islam Melaka. Tari ronggeng tidak jauh bezanya seperti kelab malam di tempat terbuka.
“Budaya apa sebenarnya yang ingin dihidupkan oleh Ketua Menteri?” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Yadzil turut mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri yang dilihat lebih cenderung kepada hiburan dalam keadaan rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
“Dalam keadaan ekonomi negeri dan rakyat yang sedang terhimpit, peruntukan dana untuk program ini dilihat sebagai pembaziran dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat Melaka. Banyak lagi masalah yang boleh diselesaikan dengan dana yang ada.
“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Melaka rugi berjuta-juta ringgit, tetapi kerajaan mahu tumpu pada joget lambak? Tidak ada bukti kukuh bahawa pelancong akan datang ke Melaka semata-mata untuk menyaksikan joget lambak.
“Pelancong lebih tertarik kepada keunikan warisan sejarah Melaka, makanan tradisional dan seni bina, dan bukan hiburan bercampur bebas. Banyak lagi produk pelancongan Negeri Melaka yang boleh dipromosikan,” katanya.
Beliau berkata, menghidupkan seni budaya tak bermakna perlu mengulangi semua bentuk hiburan lama secara literal.
“Seni tari boleh didokumentasi, difilemkan secara berseni atau ditukar bentuk untuk pembelajaran tertutup di sekolah atau muzium interaktif,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa keutamaan kerajaan sepatutnya adalah kebajikan rakyat dan pembangunan mampan, bukan berbelanja mewah untuk hiburan semata-mata.
“Kerajaan Melaka yang dipimpin oleh Datuk Seri Utama Rauf dilihat banyak mengutamakan hiburan dan mewah berbelanja.
“Kita semua perlu mengambil iktibar dari sejarah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah juga banyak dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan suka berhibur di kalangan pemimpin dan elit istana. Jangan abaikan amanah yang diberi,” katanya.
Tambah beliau, rakyat sedang hidup dalam bebanan yang cukup tinggi.
“Tarian dan hiburan tidak akan selesaikan bebanan yang sedang dihadapi oleh rakyat. Saya sebagai ADUN Perikatan Nasional akan terus komited membela nasib rakyat Melaka,” ujarnya.
Terdahulu, Kerajaan Melaka bercadang menghidupkan semula seni tari ronggeng atau joget lambak sebagai daya tarikan baharu pelancong ke negeri itu bertujuan memperkenalkan seni tari tradisional tersebut kepada generasi muda.
Ab Rauf berkata, langkah ini akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan ia tidak melanggar hukum syarak. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











