PAS Selangor gesa siasatan bebas insiden Putra Height

- Advertisement -

PUCHONG: PAS Selangor memandang serius laporan rasmi berkaitan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang gagal memberikan penjelasan tuntas, selain menambah luka kepada mangsa serta menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pakar teknikal.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, laporan berkenaan mendakwa punca kejadian adalah akibat tanah lemah di bawah struktur paip serta tekanan berulang, namun langsung tidak menjelaskan bagaimana kerja tanah boleh berlaku dalam kawasan ‘Right of Way’ (ROW) paip tersebut.

“Apabila ditanya mengenai kewujudan aktiviti kerja tanah di atas laluan paip, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hanya memberikan jawapan umum dengan menyebut ‘faktor antropogenik’ tanpa sebarang penjelasan konkrit.

“Sedangkan rakaman ‘dashboard camera’ sehari sebelum kejadian jelas menunjukkan aktiviti kerja tanah sedang berlaku di lokasi tersebut,” ujarnya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sabirin Marsono dan Setiausaha PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Ustaz Mohd Shafie Ngah.

Juga, Yang Dipertua Kawasan Puchong, Ustaz Rasidi Mohamad Yusop dan ADUN Hulu Bernam, Muhammad Mu’izzuddeen Mahyuddin serta ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.

ADUN Paya Jaras itu berkata, lebih mengejutkan kerja korekan tanah itu dijalankan oleh sebuah kontraktor yang kini sedang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Ia jelasnya, sekali gus menimbulkan persoalan besar berhubung pemantauan dan kelulusan yang diberikan kepada kontraktor itu.

Menurutnya, Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), iaitu agensi di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk menyelia pembangunan koridor utiliti, sepatutnya bertanggungjawab.

Iaitu katanya, terhadap kerja-kerja menyelaras kelulusan, mengawal selia kerja infrastruktur serta memantau pematuhan spesifikasi dan peraturan oleh pihak kontraktor.

“Namun beberapa persoalan utama masih belum terjawab, siapakah yang memberikan kelulusan kepada kontraktor yang sedang dalam tindakan tatatertib CIDB untuk menjalankan kerja korekan di kawasan berisiko tinggi?

“Mengapa tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pemaju dan kontraktor terlibat? Bagaimana laporan penyiasatan boleh menyatakan bahawa semua kerja telah mematuhi SOP sedangkan bukti menunjukkan sebaliknya?” soalnya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan ialah kenyataan Menteri Besar Selangor pada 30 April 2025 yang memaklumkan bahawa satu audit dalaman sedang dijalankan ke atas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan KUSEL bagi menyemak pematuhan SOP.

Namun beliau menzahirkan kehairanan, sehingga kini laporan audit tersebut masih belum dibentangkan kepada umum.

“Apakah ini gambaran sebenar tahap keprihatinan dan ketelusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat?

“Tiada pemaju dinamakan, tiada kontraktor didakwa, dan akhirnya tanah serta paip yang dipersalahkan, elemen yang tidak mampu mempertahankan diri,” kesalnya.

Menurut beliau, insiden itu bukan hanya mencerminkan kegagalan struktur infrastruktur, tetapi juga membongkar kelemahan dalam tadbir urus, ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan negeri.

Sehubungan itu katanya, PAS Selangor menggesa agar satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan semula oleh badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan, demi mencari kebenaran serta memastikan keadilan buat mangsa dan seluruh rakyat Selangor. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -