
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membidas peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan yang disifatkannya sebagai punca utama kenaikan harga barang di pasaran.
Beliau berkata, isu sebenar bukanlah kadar SST itu sendiri, tetapi peluasan cukai kepada lebih banyak barangan dan perkhidmatan yang akhirnya menggandakan kos ‘end product’ kepada pengguna.
“Penyokong Pakatan Harapan dengan mudah berkata, boikot sahaja kedai yang naikkan harga barang. Ia bukan semudah itu.
“Sebagai kerajaan, mereka sepatutnya mengkaji mengapa peniaga terpaksa mengambil langkah menaikkan harga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, turut menyindir kerajaan dengan gelaran ‘Kerajaan SST iaitu Saya Suka Travel’ merujuk kepada kritikan terhadap sikap pimpinan yang tidak cakna terhadap kesusahan rakyat.
“Sayangnya, kerajaan SST (saya suka travel) ini tidak akan peduli keluh kesah rakyat. Kerja mereka, kumpulkan tunai untuk dilambakkan menjelang pilihan raya,” katanya.
Pasar Raya Mydin antara yang membuat pengumuman akan dinaikkan harga secara beransur-ansur bermula Ogos ini apabila stok lama habis dan digantikan dengan stok baharu yang terkesan dengan kenaikan kos operasi serta peluasan cukai itu.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin terdahulu berkata, harga jualan kekal buat masa ini kerana stok sedia ada masih mampu bertahan sehingga sebulan sebelum digantikan dengan bekalan baharu daripada pembekal.
Namun, Ahmad Fadhli menyindir kenyataan kerajaan bahawa peluasan SST tidak menjejaskan golongan B40 kerana mereka tidak membeli di Mydin.
“Bagaimanapun, ia tidak terkesan kepada B40 kerana mereka tidak membeli di Mydin, ini kata pemimpin Saya Suka Travel (SST),” sindir beliau.
Sebelum itu, Ameer Ali menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah-buahan import sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan SST dengan menyatakan langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya dan hanya memberi kesan kepada segmen tertentu.
Menurut Ameer, Putrajaya wajar membuat penilaian yang lebih teliti sebelum melaksanakan SST berkenaan.
Misalnya mengasingkan buah-buahan dikategorikan sebagai ‘buah rakyat’ dengan buah-buahan mewah yang memang hanya dinikmati segelintir orang.
“Kalau mereka betul-betul nak mengenakan SST, baik mereka asingkan dari segi buah-buahan rakyat dengan buah-buah bukan rakyat,” katanya.
Ameer turut memberi amaran bahawa pelaksanaan SST ke atas buah-buahan sebegitu hanya akan menyebabkan harga produk tersebut melambung naik dan akhirnya akan menekan pengguna.
“Kalau kita gunakan SST untuk epal, oren, pisang.. mampuslah semua orang, harga akan naik,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











