
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menyerahkan memorandum khas kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat.
Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, memorandum itu diterima oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK), Zainudin Suleiman.
“Kami tegas berpendirian untuk mengangkat isu kos sara hidup yang kian mencengkam dan kini semakin menekan setelah dua hari pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan tarif elektrik.
“Hal demikian telah memberi kesan domino ataupun kesan rantaian kepada setiap lapisan masyarakat termasuk mahasiswa dan belia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Rabu.
Justeru, GAMIS mendesak dan menuntut MOF agar membatalkan segera dan menarik semula perluasaan SST dan kenaikan tarif elektrik, serta membuat kajian impak menyeluruh kepada semua pemegang taruh termasuklah peniaga.
“Kementerian juga perlu menjelaskan secara terperinci dengan konkrit terhadap barang-barang yang dikenakan SST dan kenaikan tarif elektrik, serta kembalikan subsidi-subsidi yang ditarik dan memperkenalkan subsidi tambahan secara bersasar.
“Selain itu, kementerian perlu bersikap telus dengan duit negara dan kurangkan pembaziran yang melampau, serta batalkan projek Kota Madani dan fokus kepada kotakan janji.
“Kami juga berasa amat kecewa kerana Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak berada di Malaysia untuk mengambil memorandum ini daripada mahasiswa sejurus selepas dia menegur mahasiswa buat fitnah baru-baru ini,” katanya.
Mohammad Azamuddin berkata, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang akan memerima memorandum itu, namun akhirnya individu lain pula yang hadir.
“Katanya nak jumpa mahasiswa, kami datang secara beradab pun tidak diendah. Walau bagaimanapun, kami mengharapkan memorandum desakan kami dipertimbangkan dan ada respon tindakan daripada pihak kerajaan.
“Nantikan pergerakan seterusnya oleh kami. ‘Kami Tuntut Lima’,” katanya yang terdahulu mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum desakan kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Rabu jam 10 pagi.
Mohammad Azamuddin berkata, demonstrasi yang berlangsung pada 22 Jun lalu adalah permulaan kepada gerakan mahasiswa membantah tindakan kerajaan yang disifatkan menindas rakyat. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











