
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi menentukan calon yang akan mengisi jawatan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan susulan pengunduran penyandangnya Nik Nazmi Nik Ahmad.
Malah, kerajaan negeri menyatakan pihaknya tidak dimaklumkan atau dijemput berbincang berhubung calon pengganti sejurus peletakan jawatan Nik Nazmi.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, urusan tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menghormati keputusan itu.
“Siapa pengganti beliau, kerajaan negeri tidak tahu kerana tiada perbincangan dibuat dengan pihak kami. Maka saya mohon maaf kerana tidak dapat mengulas lanjut kerana itu adalah hak mutlak Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco di MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Bagaimanapun, beliau berharap sebarang pelantikan yang melibatkan kepentingan negeri Kelantan dapat turut mengambil kira pandangan dan penglibatan kerajaan negeri.
“Kita harap apabila kerajaan pusat hendak melantik nama baharu, eloklah sekiranya pandangan kerajaan negeri juga diambil kira. Termasuklah penglibatan kerajaan negeri dalam proses pelantikan itu,” ujarnya.
Mengulas mengenai pengunduran Nik Nazmi daripada jawatan Kabinet, beliau menyifatkan perkara itu sebagai urusan peribadi dan parti tokoh berkenaan.
“Saya kenal beliau, seorang yang baik tetapi soal perletakan jawatan ini adalah antara beliau dan partinya. Saya difahamkan beliau menyatakan sudah tidak lagi mendapat kepercayaan daripada ahli parti, jadi saya tidak mahu komen lebih kerana ia menyentuh hal dalaman partinya,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, walaupun terdapat cadangan agar beliau mempertimbangkan semula keputusan itu, namun Nik Nazmi kekal dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet.
Malah, beliau memuat naik satu hantaran di Instagram yang memperlihatkan beliau menyampaikan ucapan dalam sebuah majlis perpisahan yang difahamkan berlangsung di kementeriannya di Putrajaya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











