
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bakal menganjurkan Karnival Kelantanku Cakna 2025 selama empat hari bermula 29 Julai hingga 1 Ogos ini bertempat di Perkarangan Masjid Jamek Muhammadi di sini, kata Rohani Ibrahim.
Menurut beliau, penganjuran karnival itu bertujuan memperkukuhkan kesejahteraan sosial dan kebajikan masyarakat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Katanya, pelaksanaan karnival selaras dengan agenda utama pentadbiran kerajaan negeri iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan menerusi pendekatan “Penghayatan Membangun Bersama Islam”.
“Karnival ini membawa tema “Kelantan Negeri Berkebajikan” dan memberi tumpuan kepada aktiviti serta program menyentuh portfolio saya iaitu kebajikan, keluarga dan wanita.
“Antara program menarik ialah Hari Sayyidatina Khadijah, Hari Warga Emas, Pertandingan Video Pendek, Fun Walk Che Siti Wan Kembang, Sulam Kasih Ambang Merdeka dan pertandingan pakaian inovatif kemerdekaan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri itu memaklumkan, selain pelbagai pameran, program itu turut menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.
Antaranya seperti pengurangan saman MPKB dan Polis serta pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma, selain akan menyaksikan penganugerahan Tokoh Kebajikan Negeri Kelantan.
“(Iaitu) kepada aktivis kebajikan daripada pelbagai kategori sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa dan sumbangan mereka.
“Antara anugerah yang akan diberikan ialah Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (OKU), Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Armalah), Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Anak Yatim).
“(Juga) Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Warga Emas), Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Asnaf Miskin), dan Tokoh Cakna Kebajikan (NGO).
“Pelaksanaan semula anugerah ini bertujuan mengiktiraf jasa dan ketokohan penggerak kebajikan yang turut memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat cakna,” ujar beliau.
Rohani turut mengalu-alukan pencalonan dari pelbagai pihak untuk tokoh-tokoh berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan kebajikan.
Karnival tersebut turut mendapat kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), NGO serta pihak swasta.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah pada 31 Julai depan.
Rohani mengajak seluruh rakyat Kelantan untuk hadir memeriahkan program tersebut sebagai lambang keprihatinan dan semangat cakna terhadap masyarakat kurang bernasib baik. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











