GMCC lonjak industri tenusu kambing di Kelantan

Tuan Saripudin menyampaikan sampel makanan silage kepada para peserta ternakan kambing tenusu
- Advertisement -

KETEREH: Penubuhan Pusat Pengumpulan Susu Kambing atau Goat Milk Collection Centre (GMCC) bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan industri tenusu kambing di Kelantan secara lebih sistematik dan berdaya saing.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pusat itu diwujudkan bagi menyelaraskan proses pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran susu kambing secara lebih efisien.

“Melalui GMCC, kita bukan sahaja pastikan kualiti susu kambing mematuhi piawaian keselamatan makanan seperti HACCP dan halal, tetapi juga membuka ruang pemasaran lebih luas kepada penternak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Penternak Kambing Tenusu Kelantan di Dewan Majlis Daerah Ketereh, di sini.

Jelas beliau, GMCC akan menjadi pusat mengumpul susu mentah daripada penternak seluruh negeri sebelum diproses kepada pelbagai produk hiliran seperti susu kambing pasteur, yogurt, keju, sabun dan produk kosmetik berasaskan susu.

Menurutnya, langkah ini membolehkan penternak tempatan menjadi pembekal utama kepada pusat dan kilang pemprosesan, sekali gus menjamin bekalan susu segar berkualiti serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Beliau turut memaklumkan GMCC akan diperkasa dengan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT) dan sistem automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Selain pengeluaran, kita juga rancang jadikan GMCC sebagai pusat inkubator agrotenusu untuk latih belia dan wanita dalam bidang keusahawanan luar bandar,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited untuk memperkukuh sektor agromakanan serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Exco Pertanian, Dato’ Shaari Mat Hussin, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob serta Pengarah ECERDC Wilayah Kelantan, Megat Shah Rizal Noor Ikhsan. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -