
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (The Real Warriors) mengumumkan pelantikan jurulatih berpengalaman, Elavarasan Elangowan sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Pelantikan tersebut diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan kelab dengan keyakinan bahawa pengalaman luas yang dimiliki beliau bakal membawa nafas baharu dan kekuatan taktikal kepada skuad Kelantan, semalam.
“Coach Elavarasan merupakan tokoh yang tidak asing dalam bola sepak tempatan. Kepimpinan dan kepakarannya diyakini dapat memperkukuh prestasi pasukan dan membina skuad yang lebih kompetitif musim ini.
“Pihak pengurusan yakin dengan falsafah permainan, disiplin taktikal serta wawasan pembangunan pasukan yang dibawa oleh beliau. Kami percaya beliau mampu membawa Kelantan kembali mencipta kegemilangan,” menurut kenyataan rasmi pengurusan.
Coach Elavarasan yang lahir pada 5 Januari 1962, pernah mengemudi beberapa kelab utama termasuk Public Bank FC, Felda United, PKNS FC dan Sarawak United FC, selain pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Ketika bersama Sarawak United, beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus melayakkan diri ke Liga Super pada musim berikutnya.
Rekod pengalaman yang mantap dan pemahaman mendalam terhadap bola sepak Malaysia dilihat seiring dengan keperluan semasa Kelantan Darul Naim FC di mana kini dalam misi memperkukuh kestabilan dan prestasi pasukan.
Penyokong diminta memberi sokongan penuh kepada jurulatih baharu ini demi kejayaan The Real Warriors dalam saingan akan datang. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











