Kerjasama industri halal dengan muslim Singapura

- Advertisement -

SINGAPURA: Kerajaan Negeri Kelantan telah mengutarakan lima cadangan bagi memperkukuhkan lagi pembangunan institusi agama dan komuniti muslim di Republik Singapura.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Daud berkata, ia membabitkan kerjasama bagi meneroka peluang lebih besar dalam industri halal.

Menurutnya usahasama itu turut meliputi kepimpinan dan latihan pegawai, pembangunan keluarga, sosial dan komuniti selain pendidikan agama dan pengurusan masjid serta al Quran dan taranum.

“Alhamdulillah, semua cadangan kerjasama mahabbah yang dibentangkan telah mendapat perhatian serta respon yang sangat positif daripada pihak Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam.

“Perkara ini akan disusuli secara pentadbiran agensi, ini menandakan komitmen membina hubungan strategik peringkat global terutama pembangunan institusi agama dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam di Singapura, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Dr Hasnan Ramli dan Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Azree Rahim.

Rombongan kerajaan negeri turut melawat sekitar masjid selain diberi taklimat oleh Pengarah Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Fairuz Sudirman mengenai perkembangan masjid dirasmi pada 2017.

Bangunan masjid itu kata beliau, juga menempatkan pejabat Yayasan Rahmatan Lil Alamin di mana giat menghulurkan bantuan kepada asnaf termasuk umat Islam di seluruh dunia yang ditimpa bencana.

Mohd Asri selaku juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata, yayasan itu pernah menyampaikan bantuan pemulihan bencana kepada Kelantan yang dilanda banjir besar tahun 2014 di Kuala Krai.

“Semasa lawatan, saya dibawa ke Pejabat Yayasan Rahmatan Lil Alamin bertempat yang mengurus sumbangan membantu asnaf, bencana di Singapura dan peringkat antarabangsa, termasuk Gaza.

“Pada tahun 2015, yayasan ini juga pernah datang menyumbang ke Kelantan untuk sampaikan bantuan pemulihan bencana banjir ‘Bah Kuning’ berlaku di Kuala Krai,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -