‘Tauke Vape’ dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital?

Kementerian Kesihatan Malaysia hilang hala tuju?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Mohd Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyifatkan pelantikan Presiden Persatuan Vape Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau sebagai mengejutkan dan mengecewakan.

- Advertisement -

Beliau berkata, pelantikan yang ditandatangani sendiri oleh Menteri Kesihatan itu menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju dan prinsip Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu kesihatan awam.

“Pelantikan ini menimbulkan persoalan besar, adakah Kementerian Kesihatan sudah hilang sensitiviti terhadap bahaya vape?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, isu tersebut bukan bersifat peribadi tetapi menyentuh soal prinsip dan integriti dasar kesihatan awam negara.

“Seorang tokoh yang mewakili industri vape, produk yang terbukti menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan anak muda, telah diberikan mandat untuk menjaga imej hospital dan mengelakkan tanggapan negatif dalam komuniti,” ulasnya.

Jelasnya, pelantikan itu sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan sebelum ini dalam isu vape.

“(Pada) 24 April 2025, Menteri Kesihatan menyambut baik keputusan negeri-negeri yang haramkan vape. 18 Jun 2025, PMX sendiri arah isu vape dan dadah diselesaikan segera.

“23 Jun 2025, surat pelantikan presiden MRECA muncul,” jelasnya sambil menyifatkan tindakan itu seolah-olah meletakkan ketua pelobi rokok elektronik sebagai wakil moral dan imej kepada sebuah institusi kesihatan.

Tengku Mohd Fakhruddin turut mempersoalkan sama ada KKM kini tunduk kepada tekanan pelobi vape atau sedang mengalami krisis arah tuju dalam dasar kesihatan awam.

“Sebagai rakyat, kami berhak bertanya, di mana prinsip promosi gaya hidup sihat yang selalu dilaung KKM? Adakah pelantikan ini akan memberi kepercayaan atau menimbulkan lebih banyak tanggapan negatif di kalangan masyarakat?

“Apakah ini satu permulaan kepada normalisasi industri vape dalam sistem kesihatan?” soalnya.

Justeru, beliau merayu kepada Menteri Kesihatan agar menarik balik pelantikan tersebut dan menghantar mesej jelas bahawa kesihatan awam tidak boleh digadaikan kepada pelobi industri.

“Kerajaan perlu buktikan bahawa mereka masih berpihak kepada rakyat, bukan kepada industri yang menjana keuntungan di atas penderitaan dan ketagihan generasi muda kita,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -