
KUALA LUMPUR: Rakyat mempunyai hak yang sah untuk berhimpun secara aman dan pihak polis tidak mempunyai alasan menghalang perhimpunan rakyat pada 26 Julai ini, kata Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Persekutuan telah memperjelas bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh digunakan untuk menyekat hak rakyat berhimpun.
“Polis dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) tiada alasan lagi untuk menghalang perhimpunan aman rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Beliau turut membandingkan perkembangan politik di negara jiran, Thailand, apabila puluhan ribu rakyat bangkit mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri sehingga Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas beliau.
Tun Faisal menyenaraikan 10 kegagalan utama pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PM10) sebagai asas kepada tuntutan rakyat untuk mendesak beliau meletakkan jawatan.
“Rakyat Malaysia wajar desak PM10 untuk turun dan meletakkan jawatan kerana gagal urus dan tadbir negara; diangkat hasil penipuan dan manipulasi terhadap Yang di-Pertuan Agong dan pengkhianatan undi pengundi BN dan PH.
“Selain itu, kes serangan seksual ke atas seorang lelaki bernama Yusoff Rawther; janji-janji pilihan raya tidak ditunaikan; janji-janji reformasi tidak dilaksanakan; dasar ekonomi yang menindas rakyat; penggunaan undang-undang zalim untuk menindas rakyat.
“Seterusnya, peningkatan kes bunuh diri, bunuh dan jenayah; penderhakaan titah Yang di-Pertuan Agong; kedaulatan dan keselamatan sempadan negara yang diambil ringan,” katanya.
Tambah beliau, rakyat kini semakin tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat, harga barang yang melambung, serta beban cukai termasuk perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Rakyat terbeban, peniaga tertekan, ekonomi suram, hutang negara parah. Dalam keadaan ini, kerajaan pula berbelanja boros,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman yang berkaitan dengan keperluan memberikan notis untuk himpunan aman adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan itu dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tunku Maimun Tuan Mat dalam prosiding yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Dalam penghakimannya, Tengku Maimun menegaskan bahawa subseksyen 9(5) melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) serta prinsip kesamarataan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Kes ini berpunca daripada permohonan failkan oleh bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abdul Hadi yang mencabar kesahan peruntukan itu susulan pendakwaan terhadapnya menganjurkan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ tanpa memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal. – HARAKAHDAILY 2/7/2025











