Tangani agenda melemah kuasa Mahkamah Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh mantan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah terhadap proses Mahkamah Syariah.

- Advertisement -

Naib Presiden GAMIS, Nik Muhammad Badrain Zamery berkata, keputusan pada 26 Jun lalu menunjukkan keperluan institusi kekeluargaan diurus berasaskan prinsip keadilan Syariah serta menghormati sistem dwi-perundangan di negara ini.

“Keputusan ini telah menunjukkan keperluan penjagaan institusi keluarga perlu mengikut kerangka keadilan syariah dan menjulang prinsip dualisme dalam perundangan di negara kita yang nilai-nilainya harus dijulang dan dijaga oleh semua pihak.

“GAMIS juga menghargai usaha dan kudrat yang dicurahkan oleh para panel peguam yang telah menunjukkan komitmen dalam mempertahankan kedudukan Mahkamah Syariah.

“Usaha dan ikhtiar ini ialah satu bentuk jihad yang sangat besar bagi menjaga keabsahan dan keutuhan sistem kehakiman Syariah di negara ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Nik Muhammad berkata, cabaran yang berulang terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah seharusnya menjadi isyarat tegas kepada kerajaan agar segera bertindak mengukuhkan institusi tersebut.

“Namun, daripada semua isu yang telah berlaku sebelum ini dan isu yang telah dicabar sekali lagi baru-baru ini seharusnya menjadi ‘wake-up call’ kepada pihak kerajaan untuk memberikan komitmen untuk mengukuhkan kedudukan institusi Mahkamah Syariah itu sendiri.

“Kita selalu bangga dengan Malaysia sebagai negara ekosistem Islam yang maju dari segi Perbankan Islam dan Institusi Halal yang terbaik di dunia, namun dari segi keutuhan Mahkamah Syariah yang saban hari dicabar ini akan menggusarkan umat Islam dimana Islam sebagai agama majoriti di negara ini.

“Pengukuhan Mahkamah Syariah ini ialah terletak pada bahu-bahu kepimpinan kerajaan sebagai penggubal dasar yang lebih progresif bagi memenuhi kemaslahatan umum,” katanya.

Oleh demikian, beliau menyeru agar kerajaan mengkaji semula peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya bagi memperluas bidang kuasa dan memastikan tiada pertindihan yang melemahkan kedudukan undang-undang Islam.

“Seterusnya, mempertingkatkan struktur organisasi Mahkamah Syariah agar setanding dengan Mahkamah Sivil dari segi hierarki, pentadbiran dan pengurusan sumber manusia.

“Selain itu, penyelarasan undang-undang syariah di peringkat kebangsaan agar wujud keseragaman, keadilan dan kejelasan dalam pentadbiran undang-undang Islam.

“Memasukkan pindaan yang progresif dan mampan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasa Undang-Undang Syariah.

“Menempatkan Mahkamah Syariah sebagai satu institusi penting dalam lanskap kehakiman negara, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen bagi mengukuhkan Mahkamah Syariah ini sudah tentu memerlukan satu kehendak politik yang bersepadu dari seluruh ahli Parlimen.

“GAMIS menyeru kepada seluruh ahli Parlimen tidak kira dari kerajaan atau pembangkang untuk bersama mendukung agenda pengukuhan Mahkamah Syariah demi menjaga kemaslahatan umum negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada Khamis menolak permohonan Maria Chin untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mencabar perintah berkaitan notis tunjuk sebab kerana menghina Mahkamah Syariah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu sebulat suara.

Nordin, yang mengetuai panel itu berkata, tiada isu baharu yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan mendengar dan memutuskan rayuan Maria. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -