Kota Madani: Bukan pelaburan, tetapi pemerasan fiskal

Hutang senyap; gugat kestabilan masa depan

Nazrul Nazir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek mega Kota Madani yang melibatkan pembinaan 10,000 unit kediaman moden dan pelbagai kemudahan lain disifatkan sebagai tidak kena pada waktunya ketika rakyat sedang dihimpit tekanan ekonomi.

- Advertisement -

Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS Malaysia, Nazrul Nazir berkata, meskipun projek itu dilihat memberi manfaat khususnya kepada golongan penjawat awam, tumpuan kerajaan sepatutnya diberikan kepada janji-janji asas yang masih belum tertunai.

“Tidak dinafikan projek ini mencerminkan sebuah perancangan fizikal yang moden dan futuristik, termasuklah pembinaan sekolah ‘vertikal’ 17 tingkat. Namun dalam kerangka lebih besar, apa ertinya projek gah jika realiti rakyat semakin susah?

“Ketika rakyat tertekan dengan kenaikan cukai, tarif utiliti, harga barang dan kos sara hidup harian, ‘kota janji’ adalah lebih utama buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman media sosial.

Nazrul turut melahirkan kebimbangan terhadap mekanisme pelaksanaan projek itu yang dibuat melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) oleh Putrajaya Holdings, iaitu anak syarikat milik penuh PETRONAS.

Katanya, walaupun dinamakan sebagai projek swasta, ia sebenarnya menggunakan dana milik negara secara tidak langsung tanpa melalui perbahasan atau kelulusan dalam belanjawan tahunan kerajaan.

“Model Build-Lease-Maintain-Transfer (BLMT) membolehkan kerajaan mengelak bayaran pada masa sekarang, tetapi kerajaan terikat dengan komitmen sewaan puluhan tahun. Inilah cara kerajaan berhutang secara senyap,” ujarnya.

Justeru Nazrul turut mempersoalkan kewajaran projek RM4 bilion itu diluluskan ketika Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 menegaskan bahawa kini bukan masanya untuk melaksanakan projek mega.

“Jika kenyataan ini benar-benar dipegang, mengapa projek sebesar ini diluluskan sekarang? Lebih membimbangkan, semua ini berlaku pada waktu PETRONAS sendiri sedang menanggung tekanan.

“Ini bukan strategi pelaburan jangka panjang, tetapi satu bentuk pemerasan fiskal yang boleh menggugat kestabilan masa depan syarikat dan negara,” katanya.

Tegasnya, Kota Madani bukanlah lambang kemajuan seperti yang diuar-uarkan, sebaliknya hanya satu gimik pencitraan yang mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

“Sekarang bukan masa untuk mencipta mercu tanda. Banyak janji rakyat yang perlu dikota. Jika tidak mampu, lebih baik undur diri dengan bermaruah sebelum lebih banyak luka ditinggalkan kepada rakyat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -