
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi reaksi berhubung kenaikan tarif elektrik dan peluasan cukai SST terhadap mahasiswa dilihat memperkecilkan kebimbangan sebenar yang disuarakan oleh rakyat dan golongan tersebut.
Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Sri Saifuddin Abdullah berkata, kenyataan itu tidak menyentuh isu utama dibangkitkan, iaitu tekanan kos sara hidup secara keseluruhan yang kian menghimpit kehidupan rakyat.
“Apatah lagi selepas pelaksanaan ini, keadaan dijangka menjadi lebih membebankan. Kita perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan rantaian kepada banyak sektor.
“Harga makanan dan barangan asas di kampus-kampus dijangka meningkat apabila kos operasi pembekal turut meningkat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, mahasiswa akan menjadi antara golongan paling terkesan kerana rata-rata tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada pinjaman pendidikan atau bantuan kebajikan.
“Perlu diingat juga, ramai mahasiswa kini tidak lagi menetap di kolej-kolej kediaman dalam kampus. Mereka tinggal di luar dan perlu menanggung kos sewa, pengangkutan dan utiliti secara langsung.
“Maka, implikasi kenaikan-kenaikan ini terhadap mereka amat nyata dan tidak wajar disangkal. Saya menyeru agar kerajaan mengambil serius bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, khususnya mahasiswa, dan tidak memperlekehkan suara serta kebimbangan mereka,” katanya.
Kelmarin, Anwar dalam ucapannya menegur segelintir mahasiswa yang dikatakan menyebar maklumat tidak tepat kononnya berlaku kenaikan kadar elektrik akibat pelaksanaan cukai SST.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mendakwa tidak menolak sebarang kritikan, namun meminta semua pihak terutama anak muda supaya menyuarakan pendapat dengan berasaskan kebenaran. – HARAKAHDAILY 2/7/2025











