‘Keluarga terpinggir’ mati tidak disedari membimbangkan

- Advertisement -

TUMPAT: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi menarik perhatian semua pihak agar memandang serius beberapa tragedi menyayat hati berlaku mutakhir ini terutama yang melibatkan kematian.

- Advertisement -

Kata beliau, tragedi kematian terpinggir melibatkan ahli keluarga yang tidak disedari jiran, waris mahupun sahabat handai dalam tempoh lama, adalah berita amatlah menyedihkan.

“Hati kita menangis apabila membaca berita kematian keluarga terpinggir yang tidak disedari sesiapa. Saya terpanggil untuk mengajak semua pihak memandang serius akan isu ini,” tegas beliau pada kenyataannya, hari ini.

Beliau turut mengatakan, agenda “Sayangi Keluarga dan Keluarga Diutamakan” dilihat semakin malap dan hampir pupus dalam masyarakat Malaysia sejak mutakhir ini.

Malah ujarnya, insiden seumpama itu sangat membimbangkan dan menunjukkan struktur sosial, jaringan kekeluargaan dan budaya kejiranan dalam masyarakat kini semakin rapuh.

“Saya ingin menegaskan, Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) wajib memberi keutamaan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan keluarga serta komuniti sebagai komponen utama dalam hala tuju pembangunan ekonomi dan sosial negara.

“Pembangunan negara yang sebenar, tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat, keutuhan institusi keluarga dan kekuatan jaringan sosial dalam masyarakat,” kata beliau memberi pandangan.

Justeru jelas Mumtaz, polisi dan agenda mesra keluarga mesti menjadi dasar rentas kementerian dan diterapkan dalam semua sektor pada peringkat pelaksanaan.

Dalam pada itu tambahnya, negara juga memerlukan hala tuju pembangunan yang menyatukan ekonomi, sosial dan kesejahteraan keluarga sebagai teras kemajuan negara seimbang.

Mengulas lanjut, beliau turut menyuarakan pandangan agar bajet mesra keluarga dan komuniti mesti diberi penekanan, dengan memperuntukkan dana yang mencukupi.

Tindakan itu katanya, untuk membina kemudahan, program dan sistem sokongan yang benar-benar membantu memperkukuh institusi keluarga serta membina masyarakat penyayang dan cakna.

“Saya juga menyeru supaya kempen kasih sayang terhadap ibu bapa, adik-beradik dan keluarga diutamakan sama ada melalui siaran televisyen, media sosial serta lain-lain saluran komunikasi arus perdana.

“Kempen ini perlu dilaksanakan secara berterusan dan kreatif bagi menyuburkan semula budaya menghargai keluarga dan membina rasa tanggungjawab bersama,” tegasnya lagi.

Pemimpin masyarakat setempat juga katanya, perlu tampil lebih proaktif dalam membina semula jaringan sosial yang kukuh di peringkat komuniti.

Tambahnya lagi, mekanisme sosial yang positif perlu diwujudkan dengan lebih meluas bagi memperkukuh sistem sokongan keluarga dan kejiranan agar tiada siapa yang terpinggir atau terputus hubungan.

Beliau juga turut menzahirkan rasa kecewanya, kerana dewasa ini wujudkan budaya ‘jangan jaga tepi kain orang’ yang semakin berakar sehingga menjadikan masyarakat semakin kurang cakna dan tidak peduli.

“Hubungan kekeluargaan dan kejiranan semakin longgar akibat tekanan kerjaya, desakan ekonomi dan kesibukan hidup.

“Lebih membimbangkan, walaupun kita hidup dalam era teknologi komunikasi yang canggih, masyarakat tetap gagal memanfaatkannya untuk membina hubungan yang bermakna,” keluh beliau.

Berikutan itu, beliau mengusulkan beberapa langkah segera yang perlu dilaksanakan bersama untuk membantu mengatasi masalah tersebut.

Antaranya tegas beliau, kerajaan perlu mengutamakan dasar dan bajet pembangunan serta kesejahteraan keluarga dan komuniti dalam hala tuju pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Mumtaz menyeru memperbanyakkan program sosial komuniti serta mengaktifkan semula budaya kejiranan melalui gotong-royong, aktiviti ziarah dan program kemasyarakatan berkala.

Termasuk katanya, memperkasakan sistem sukarelawan setempat untuk memantau kebajikan warga emas, orang kurang upaya dan individu yang tinggal bersendirian.

“Selain itu, saya juga mencadangkan agar digerakkan kempen nasional yang agresif untuk membudayakan sikap peduli dan cakna serta menghapuskan persepsi ‘jangan jaga tepi kain orang’.

“Juga memperluaskan sistem kebajikan berasaskan teknologi yang memudahkan pemantauan komuniti secara pantas dan menyeluruh.

“Saya juga suka mencadangkan agar kerajaan newujudkan lebih banyak mekanisme sosial positif seperti pusat komuniti keluarga, pusat sokongan psikososial dan jaringan komuniti prihatin,” jelasnya.

Selain itu, Mumtaz juga menyarankan agar program telekomunikasi percuma dilaksanakan atau diberi secara subsidi talian khususnya kepada golongan berisiko, agar kos tidak menjadi halangan untuk keluarga dan jiran terus berhubung secara konsisten.

Termasuk juga katanya, mengutamakan kempen media, program televisyen dan media sosial dengan mempromosikan nilai kasih sayang kepada ibu bapa, keluarga dan komuniti secara nasional dan berterusan.

Oleh itu, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat untuk mengembalikan budaya silaturahim, membina hubungan kemanusiaan yang ikhlas serta memupuk rasa cakna sesama jiran dan keluarga.

Beliau mengajak semua pihak terutama umat Islam agar menghayati firman Allah, surah An-Nisa ayat 1, yang bermaksud, “Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan dan silaturahim”.

“Jangan biarkan sesiapapun terpinggir dan meninggal dunia dalam kesunyian tanpa disedari. Ini adalah tanggungjawab kita bersama,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -