
ARAU: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis menyuarakan kebimbangan terhadap dasar ekonomi Kerajaan Persekutuan yang dilihat semakin menekan kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, warga emas dan penjaja kecil.
Ketuanya, Norshahirah Mat Salleh berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad, yang mengkritik kegagalan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Sebagai pihak yang dekat dengan rakyat akar umbi, kami melihat sendiri bagaimana keputusan-keputusan kerajaan yang tidak berhati perut ini memberi kesan langsung kepada rakyat marhaen,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.
Antara isu utama ujarnya, termasuk pemotongan subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barang keperluan asas, tanpa kawalan harga berkesan di lapangan.
“Kami melihat peniaga kecil dan pengguna di luar bandar antara yang paling terkesan dengan situasi ini,” tambahnya.
Selain itu, katanya, pelaksanaan kenaikan tarif elektrik serta peluasan cukai SST dilakukan dalam keadaan rakyat masih belum pulih sepenuhnya daripada tekanan ekonomi pasca pandemik COVID-19.
“Pendapatan rakyat statik, tetapi kos sara hidup terus meningkat. Di manakah keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan rakyat?” soalnya.
Pihaknya juga mempersoalkan perbelanjaan mewah kerajaan melalui projek mega bernilai berbilion ringgit yang menurut mereka tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Rakyat melihat ini sebagai satu bentuk pembaziran yang tidak bermaruah dan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar bersikap jujur dan telus dalam mengurus dana awam serta melaksanakan dasar yang benar-benar berorientasikan rakyat, bukan kroni.
“Kerajaan sepatutnya menangani ketirisan dan pemborosan, bukan menambah beban rakyat dengan pelbagai cukai baru,” tegasnya.
Justeru, pihaknya mengajak rakyat untuk bersama-sama bangkit bersuara menuntut keadilan sosial dan ekonomi yang lebih telus serta berpaksikan kepentingan rakyat. – HARAKAHDAILY 2/7/2025











