Ustaz Hamzah Ngah pembina generasi

Dalam kenangan kolektif abnaul harakah

- Advertisement -

“DIA orang yang pertama yang berani bertakbir dalam KUSZA, ana masih ingat lagi saat ana berforum pada awal 1980an dalam isu kerajaan revolusi Iran. Apabila poin ana supaya memberikan peluang untuk Iran buktikan kemampuan negara itu, maka terdengar laungan takbir.. itulah Hamzah Ngah,” imbau Dato’ Haji Husein Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu malam kelmarin semasa kami berprogram di Kampung Padang Luas Dalam, Jerteh, Terengganu. Sambil menghabiskan makan malam yang disediakan oleh tuan rumah, pulut kuning berlauk daging goreng yang menyelerakan, Tuan Guru Dato’ Husein melahirkan rasa gembira kerana kematian anak muridnya itu menghimpunkan ribuan manusia terutamanya pelajar-pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (dahulunya KUSZA) yang merupakan anak-anak didik beliau.

- Advertisement -

Perjalanan dakwah dan tajnid Almarhum Ustaz Hamzah sangat panjang dan membekas dalam kepada sahabat-sahabat yang beliau tinggalkan. Beliau generasi haraki 1980an yang ditamrinkan di Masjid Rusila, bersambung penglibatannya dalam medan amal Islami ke bumi Mesir, seterusnya pulang untuk menggerakkan medan perkaderan dakwah di bumi kelahirannya, Terengganu.

Menurut Ustaz Azri Abdul Aziz, Ustaz Hamzah menjadi guru generasi awal Maahad Darul Quran Rusila sejak pulang dari ‘ardhul kinanah’ (Mesir). Ribuan kader dakwah menerima sentuhan beliau dalam pelbagai program tamrin, usrah, mukhaiyyam dan juga rehlah.

Almarhum dianugerahkan Allah dengan bakat yang bervariasi, bukan sekadar piawai di meja kuliah serta khutbah namun juga dalam bidang nyanyian. Bagi pelajar-pelajar Maktab Darul Qur’an (MDQ), tidaklah lengkap sesebuah program tanpa nasyid bertema jihad murabbi mereka yang akan membakar semangat. Bernasyid beramai-ramai dengan tangan diacung ke udara, semuanya menjadi kenangan paling indah kepada alumni MDQ Rusila.

“Ribuan anak murid Ustaz Hamzah, ana masuk MDQ tahun 1988, keluar 1993, Ustaz bawa ana ke Syria untuk belajar di Jamiah Abu Noer.. Beliau juga berniat untuk sambung Sarjana (MA) di Syria termasuk Ustaz Mohamad Nor Abdul Rahman dan Ustaz Zulkifli Bakri yang adalah angkatan beliau. Cuma beliau tak sempat habis kerana jamiah beliau ditutup,” kenang Ustaz Nik Roslan Mustapha, Ketua Ulamak Besut berkaitan gurunya itu.

Anak muridnya merata-rata sepanjang Besut ke Rompin Pahang. Sebahagian besar alumni MDQ menduduki pos penting dalam jamaah dan kini ramai juga telah menjadi anggota-anggota legislatif di Pahang dan Terengganu.

Ustaz Hamzah Ngah berdakwah dan menyampaikan ilmu di pelbagai tempat. Beliau telah memenuhi sebahagian besar jadual kuliah di Terengganu, selebihnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terutama dalam bulan Ramadan.

Pelajar-pelajar Empat Thanawi MDQ telah dilatihnya untuk berkuliah serta berkhutbah; beliau mengasuh pelajar-pelajar ini menjadi pendakwah.

Jadualnya turut padat kerana memegang pelbagai jawatan dalam PAS; di zaman muda aktif dalam Lujnah Tarbiah dan latihan perkaderan. Beliau mantan Exco Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Terengganu serta pelbagai jawatan dalam PAS Kawasan Kuala Terengganu.

Hubunganku dengan Almarhum bukan sekadar hubungan dalam jamaah, lebih daripada itu kerana beliau mengasuh anak-anakku di MDQ. Apabila mendapat tahu beliau jatuh sakit tahun lepas, sempat beberapa kali menziarahinya di rumahnya di Kampung Rusila.

Pertemuan akhir dengan Almarhum Ustaz Hamzah Ngah pada hari Sabtu lepas, tetap dengan guratan wajah ceria walaupun dengan sedikit keuzuran. “Guaner Ustaz Mezoh, sihat doh ke?” tanyaku berbasa basi. Kami berhimpun untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah Cikgu Mat Daimin di Masjid Rhu Muda. “Alhamdulillah, gini ahh,” jawab beliau ringkas dengan wajah manis, lantas kami berpelukan. Sebelum berpisah malam itu, kami memotret sekeping gambar bersama Dato’ Mohd Nor Hamzah, Speaker DUN Terengganu, juga dengan Setiausaha DUN Terengganu yang turut hadir. Itulah gambar terakhir dengan sosok juru bina abnaul harakah dan pendakwah itu.

Lebih tiga dekad aku mengenali insan ini, kali pertama dalam satu tamrin Ikatan Pelajar Islam Terengganu (IPIT) di Markaz Tarbiah Kubang Lembek pada tahun 1994. Beliau membentangkan satu kertas kerja kepada pelajar-pelajar dan yang aku ingati, beliau menggantikan tempat seorang penceramah lain. Kami sama-sama dalam Dewan Pemuda, aku di Wilayah Persekutuan, manakala beliau dalam DPP Terengganu. Dia juru takbir setiap kali program jemaah berlangsung, laungan membesarkan Allah bergema dalam dewan apabila ada Ustaz Hamzah.

Lima zuriatku menerima sentuhan tarbiah murabbi ini. Paling rapat dengan Ustaz Hamzah adalah Jundullah dan Muhammad Mujahid Riduan. Dia mengajar dan melatih anak-anak lelakiku berkuliah, berkhutbah, juga menghafal nama anak-anakku yang lain. Beliau sedikit terkilan kerana aku tidak hadir dalam majlis ihtifal MDQ tahun lepas kerana Mujahidah mendapat pangkat Mumtaz. “Bakpe enta tak mari, bukan senang nak dapat mumtaz anak-anak,” luahnya perlahan lahan. “Maaf Ustaz, ana bertembung program Pusat, jaulah Lestari,” jawabku dengan cermat. Anak-anak menyimpan rapi potret serta video bersama-sama dengan guru kesayangan mereka.

Berita kepulangan ke Rahmatullah Ustaz Hamzah Ngah tersebar dengan pantas, berpusu- pusu ahli jemaah bergerak ke Masjid Rusila. Jalan sedikit sesak menjelang Zuhur dengan hujan menguyur perlahan, seperti suasana kuliah pagi Jumaat dekad 1980an di Rusila. Anggota Jabatan Amal mengawal trafik dan menyusun parkir kenderaan dengan baik.

Masjid Rusila dengan sejarahnya yang tersendiri sebagai pusat kebangkitan semula Islam di Terengganu. Pondok Rusila pernah menjadi tempat berlindung pejuang-pejuang Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman sebelum berlindung dengan Tok Ku Paloh di Kampung Paloh. Masjid Rusila adalah medan jihad Almarhum Ustaz Hamzah Ngah menabur budi lebih tiga dekad. Kembali dari Mesir, beliau menjadi Setiausaha kerja Dewan Ulama PAS Terengganu sebelum diserapkan sebagai tenaga pengajar di MDQ Rusila.

“Kita berjuang dengan bersungguh-sungguh, korbankan masa, harta benda untuk perjuangan Islam, moga anugerahkan husnul khatimah, moga ramai insan yang akan mendoakan kita kelak bila kita berpisah dengan alam ini,” ungkap seorang sahabat lain yang juga teman Ustaz Hamzah .

Hari ini langit mendung, hujan mencurah seketika seperti turut berduka akan pemergian Mujahid dakwah ini, permata kepada negeri Terengganu Darul Iman yang penuh barokah ini.

Dalam sejarah juga, aku melihat paling ramai kehadiran solat jenazah di tanah Tok Ku Paloh ini. Solat pertama diimamkan oleh Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, merupakan solat pertama solat jenazah yang Tuan Guru imamkan selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN). Kehadiran yang terlalu ramai menyebabkan diadakan solat kali kedua. Bertuah juga kerana kehadiran ‘Daie Sejuta Umat’, Ustaz Azhar Idrus, yang mengimamkan solat jenazah kali kedua. Ribuan juga bergerak ke pusara Kampung Rusila untuk proses pemakaman seorang murabbi yang disayangi teman-teman dan anak-anak murid. Doa dilantun perlahan, hati basah dan pilu, kenangan akan tetap dipahat dalam ingatan.

Selamat jalan Mujahid dakwah, kami juga akan menyusul!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -