Paip gas: Amaran untuk tindakan nasional segera

Tragedi Putra Heights

Balasubramaniam Nachiappan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat menyuarakan kebimbangan serius terhadap insiden letupan paip gas di Putra Heights yang mencederakan lebih 100 orang dan menimbulkan keraguan terhadap keselamatan sistem paip gas negara.

Ketua DHPP, Balasubramaniam Nachiappan berkata, insiden itu bukan sahaja mengancam penduduk setempat, tetapi turut menimbulkan persoalan terhadap keselamatan saluran paip gas di kawasan berpenduduk padat, institusi pendidikan dan premis awam.

- Advertisement -

“Walaupun PETRONAS Gas Berhad (PGB) menjelaskan bahawa sistem pemantauan mereka menggunakan teknologi canggih seperti SCADA (Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data), dron dan pengesanan akustik yang beroperasi 24 jam.

“(Tetapi) kejadian di Putra Heights membuktikan bahawa risiko luar jangka masih wujud dan langkah pencegahan sedia ada perlu diperkemas,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, insiden itu wajar menjadi pencetus kepada tindakan nasional menyeluruh, termasuk audit keselamatan sistem paip gas dan pendedahan hasilnya kepada umum melalui peta risiko yang mudah diakses.

“Saya menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Bebas oleh PETRONAS dan usaha menyelaras laluan bekalan alternatif. Namun, apa yang lebih utama ialah pendekatan pencegahan jangka panjang, bukan hanya reaksi selepas kejadian berlaku,” ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dijalankan ke atas semua saluran paip gas aktif di negara ini, terutamanya yang melalui kawasan berpenduduk padat dan berhampiran institusi awam.

DHPP juga menyeru agar zon penampan keselamatan diwujudkan di sekitar saluran paip, termasuk pemasangan papan tanda amaran dan maklumat teknikal yang jelas dan konsisten.

Selain itu katanya, latihan kecemasan secara berkala perlu diadakan dengan melibatkan penduduk setempat bagi memastikan kesiapsiagaan mereka sekiranya berlaku sebarang insiden kebocoran atau letupan.

“Meningkatkan ketelusan data lokasi paip gas, supaya pihak berkuasa tempatan dan komuniti dapat membuat perancangan pembangunan dan keselamatan dengan lebih bijak dan bertanggungjawab.

“Menggalakkan penglibatan masyarakat sivil, NGO dan komuniti setempat dalam usaha penilaian risiko dan pemantauan infrastruktur tenaga di kawasan masing-masing.

“Saya percaya bahawa negara kita masih mempunyai masa, sumber dan kepakaran untuk memperkukuh sistem keselamatan tenaga demi kesejahteraan rakyat.

“Namun, kita tidak harus menunggu tragedi seterusnya untuk bertindak. Kebakaran di Putra Heights adalah satu isyarat yang jelas bahawa sekuriti awam dan pengurusan risiko infrastruktur perlu diberi keutamaan nasional segera,” katanya.

Semalam, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, insiden pada 1 April itu dikenal pasti berpunca daripada pergerakan tanah tidak stabil di bawah permukaan paip.

Pihaknya dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan.

Hasil siasatan mendapati tiga punca utama insiden kebakaran ialah paip gas patah pada sambungan kimpalan, keadaan tanah yang longgar dan lembut, serta pergerakan ketara paip sebelum kejadian. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -