
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji secara mendalam setiap sistem percukaian dilaksanakan agar tidak menindas serta menekan rakyat di mana kini semakin terbeban dengan dasar-dasar ekonomi yang dilihat pincang dan tidak sensitif.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihahtussalehah Ahmad berkata, siri keputusan ekonomi yang dibuat kerajaan kebelakangan ini jelas tidak berlandaskan prinsip keprihatinan terhadap rakyat.
“Selepas pemotongan subsidi diesel, rakyat dibebankan lagi dengan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik yang berkuatkuasa pada 1 Julai.
“Kerajaan seolah-olah lupa bahawa rakyat masih bergelut dengan kesan pasca pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial.
Mengulas lanjut, beliau berkata, beban ekonomi global seharusnya ditangani secara bijak oleh kerajaan melalui pelan dan reformasi ekonomi yang mampan, bukannya terus disalurkan kepada rakyat.
“Sebaliknya, kita menyaksikan perbelanjaan kerajaan yang terus melonjak tanpa kawalan termasuk perbelanjaan mewah, ketirisan dalam projek mega, serta keutamaan yang salah.
“Semua ini menunjukkan ketidakcekapan pentadbiran yang akhirnya menambahkan tekanan kepada rakyat,” ujarnya.
Dr Najihahtussalehah turut mempersoalkan beberapa projek besar kerajaan termasuk pembinaan Kota Madani bernilai RM4 bilion, pembelian pesawat tempur FA-50M dari Korea Selatan yang menelan RM4 bilion.
Serta isu projek kapal tempur pesisir (LCS) yang kosnya meningkat kepada RM11.2 bilion, sedangkan rakyat diminta ‘ikat perut’, tetapi kerajaan pula dilihat boros dan tidak prihatin terhadap penderitaan rakyat marhaen.
Justeru katanya, Muslimat PAS Malaysia menegaskan agar kerajaan mengambil pendekatan lebih berhemah dalam pengurusan kewangan negara dan mengutamakan kebajikan rakyat dalam setiap dasar yang digubal.
“Sekiranya ini tidak berlaku, kerajaan hari ini hanya mengesahkan betapa pincangnya mereka dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











