Mahasiswa turun ke MOF esok, 2 Julai jam 10 pagi

Tekanan kos sara hidup kian terasa

Mohammad Azamuddin Sahar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengumumkan bakal menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu kos sara hidup yang semakin menekan rakyat.

Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, demonstrasi yang berlangsung pada 22 Jun lalu adalah permulaan kepada gerakan mahasiswa membantah tindakan kerajaan yang disifatkan menindas rakyat.

- Advertisement -

“Khususnya melalui pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai. Peluasan SST dan kenaikan tarif elektrik masih diteruskan juga pada 1 Julai.

“Menteri seharusnya menjaga kebajikan rakyat, bukan sibuk membangunkan ‘Kota Madani’ yang tidak memberi pulangan signifikan kepada kami sebagai rakyat Malaysia.

“Jangan jadi ibarat ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’,” katanya dalam kenyataan di laman sosial.

Menurutnya, GAMIS kecewa dengan sikap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta barisan pentadbiran yang didakwa tidak mempunyai pendirian jelas terhadap pelaksanaan SST dan kenaikan tarif elektrik.

Beliau mempersoalkan perubahan mendadak dalam keputusan kerajaan yang sebelum ini menyatakan perkhidmatan bank tidak dikenakan SST, namun kemudiannya diumumkan sebaliknya.

“Begitu juga isu caj SST ke atas buah-buahan import seperti epal, limau dan kurma serta perkhidmatan pusat kecantikan yang diumumkan kemudian ditarik semula.

“Tindakan seperti ini menunjukkan keputusan kerajaan tidak konsisten dan lemah,” bidasnya.

Azamuddin turut menempelak kenyataan Perdana Menteri yang menafikan kesan kenaikan tarif elektrik terhadap rakyat dan menegaskan bahawa jika industri dikenakan tarif tinggi, maka kos akan dipindahkan kepada rakyat.

“Kali ini, mesin basuh jenama apa pula yang Bapa Reformasi gunakan?Keputusan dibuat tanpa perbincangan dengan pemegang taruh. Kerakusan ini mendedahkan kedangkalan kerajaan hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, GAMIS akan mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum desakan kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya pada esok, 2 Julai 2025 jam 10 pagi.

“Kami menjemput Perdana Menteri untuk turun sendiri dan menerima memorandum ini dari tangan mahasiswa. Semoga Allah memelihara negara daripada sebarang bentuk kezaliman,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/07/2025

- Advertisement -