SST: Kerajaan rakus rakyat hukum pilihan raya nanti

Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menzahirkan rasa kesal terhadap pendekatan kerajaan yang semakin rakus mencukai rakyat menerusi peluasan dasar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengerusinya, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, langkah kerajaan itu wajar dihentikan segera memandangkan rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup tinggi, kenaikan harga barang, serta tekanan ekonomi pasca pandemik dan ketidaktentuan global.

- Advertisement -

“Pelaksanaan SST dalam bentuk sedia ada hanya menambah beban rakyat marhaen,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Rosharizan berkata, pihaknya menyokong pelaksanaan sistem percukaian yang telus dan berkesan, namun menegaskan ia mesti dilakukan secara adil.

Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan syarat tertentu.

“Antaranya ialah peratusan yang lebih rendah supaya beban kepada pengguna tidak terlalu berat, tidak melibatkan barangan keperluan asas seperti beras, telur dan minyak masak.

“(Ia) serta tidak memberi kesan langsung kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah,” jelasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar memastikan dasar cukai tidak menjadi alat menekan rakyat semata-mata demi menampung ketirisan serta kelemahan pengurusan kewangan negara.

“Antara usaha yang perlu diberi perhatian adalah meningkatkan dan memberdaya produk tempatan bagi menambah sumber pendapatan negara supaya kantung negara tidak bergantung semata-mata daripada hasil cukai,” terangnya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan kerajaan menghentikan pergelutan politik dalaman serta menumpukan perhatian terhadap usaha meningkatkan hasil negara melalui pelaburan asing.

“Ini adalah lebih menguntungkan negara dan rakyat. Akhirnya, Ekspresi Anak Malaysia mengingatkan kerajaan agar jangan rakus mencukai rakyat.

“Jika kerakusan ini berterusan, rakyat tidak akan teragak-agak untuk menghukum kerajaan dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -