Tragedi Putra Heights: Rakyat perlu diyakinkan

- Advertisement -

TIGA bulan bukan sekadar mangsa malah rakyat jelata rata-rata menunggu hasil siasatan punca letupan paip gas PETRONAS di Putra Heights mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar selain kecederaan yang dialami penduduk.

- Advertisement -

Semalam, setelah 3 bulan berlalu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Husdin Che Amat, yang mengetuai badan siasatan dengan bantuan agensi-agensi berkaitan memaklumkan hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan kelemahan struktur tanah, yang menyebabkan paip berada dalam keadaan tidak disokong sepenuhnya dan mengalami tekanan berulang sehingga gagal secara fizikal.

Dalam erti kata lain ianya berpunca dari faktor geoteknikal di bawah permukaan tanah (kedalaman 5.6 meter dari paras jalan menurut Polis)  dan tidak melibatkan sebarang kerja-kerja atau kecuaian di atas permukaan tanah. Pihak polis pula menyatakan tiada unsur sabotaj, perbuatan khianat atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian.

Akhbar The Star melaporkan “report triggers more questions”, laporan ini sesungguhnya mencetuskan lebih banyak tanda-tanya. Antaranya dipertikaikan mengapa sistem keselamatan paip gas yang merentasi seluruh semenanjung ini gagal mengesan kelemahan yang dimaksudkan.

Menurut rekod Rangkaian Paip Gas Semenanjung (PGU), adalah lebih dari 2,600 kilometer panjang. Paip ini menghubungkan Kerteh di Terengganu hingga Johor Bahru di selatan dan Kangar di utara Semenanjung Malaysia, serta ke Singapura dan Thailand. Selain itu, ada juga paip gas PETRONAS di Pulau Pinang yang sepanjang 42 kilometer.

Seorang penduduk menyatakan jika kelemahan tanah mengakibatkan paip gas itu mengalami kegagalan struktur bagaimana dengan keadaan di tempat lain di serata semenanjung yang menampung paip gas ini?

Seorang lagi penduduk sebagaimana dilaporkan The Star mempertikaikan kenapa laporan itu tidak menyebut siapa sebenarnya yang bertanggungjawab. Menurutnya sepanjang beliau tinggal di kawasan berkenaan tidak pernah beliau lihat kejadian air bergenang atau bertakung di permukaan tapak kejadian, bagaimana tanah berkenaan boleh dilaporkan menjadi lembab dan lemah?

Manakala seorang lagi penduduk mempertikaikan kegagalan sistem pemantauan keselamatan yang sepatutnya mengesan kelemahan ini sebelum letupan berlaku.

Ternyata rakyat sukar menerima hasil laporan ini. Adakah pihak berkuasa tempatan MBSJ serta pihak berkuasa negeri terlepas tanggungjawab dengan hasil laporan ini.

Kita masih ingat selepas kejadian, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, bekas jurutera projek PETRONAS Gas Berhad (PGB) yang terlibat dalam pembinaan paip gas ini keseluruhannya termasuklah dilaluan Putra Heights sekitar tahun 1988-90 menyatakan sepanjang beliau berkhidmat selama lebih 30 tahun, aspek integriti dan keselmatan tidak pernah dipandang remeh oleh PETRONAS.

Beliau ketika itu pernah dipetik BERNAMA sebagai berkata: “Reka bentuk, ketebalan dan kualiti paip memang direka untuk bertahan lama kerana saluran paip ini tidak boleh ditukar setiap 10 tahun disebabkan kos yang besar. Jangka hayat paip ini kerana itu dibuat boleh mencecah lebih 50 tahun”.

Pihak kerajaan negeri bertanggungjawab memberikan penjelasan yang lebih telus dan tuntas kepada rakyat yang berhak mengetahui perkara sebenar. Meletakkan faktor geoteknikal sebagai puncanya sekata-mata akan mengakibatkan rakyat pertikaikan keadaan tanah di seluruh jajaran paip ini, jika boleh berlaku di Putra Heights kenapa tidak di tempat lain.

Laporan ini melepaskan orang-orang politik yang duduk di PBT Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya serta pihak berkuasa negeri yang melulus dan memantau projek serta infra disekitar kawasan dimaksudkan, kerana yang menjadi punca menurut laporan ini adalah faktor geoteknikal jauh di dasar tanah, justeru bebas terlepaslah pertanggungjawaban orang politik dan kerajaan negeri.

Untuk rekod di setiap PBT terdapat satu jawatankuasa penting yang diberi nama OSC atau ‘One Stop Centre’ (JK Pusat Setempat), tanggungjawabnya antara lain adalah menyeragam prosedur dan proses permohonan-permohonan kebenaran merancang, pelan bangunan dan permohonan pembangunan tanah dengan mengambilkira peruntukan-peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 172) dan Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 (Akta 133). Mereka melulus dan memantau sesuatu projek di PBT sehinggalah memantau proses pengeluaran CCC.

Tanggungjwab besar OSC ini adalah memastikan setiap KM yang dikeluarkan dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang telah ditetapkan, dan di Selangor, JK OSC ini dianggotai oleh 4 orang ahli majlis yang mewakili parti pemerintah. Ada wakil dari PKR, DAP dan PAN. Terlepaskah tanggungjawab mereka dengan laporan ini?

Kesimpulannya langkah terbaik untuk mengelakkan syak dan tandatanya rakyat, kerajaan negeri sewajarnya melantik sebuah badan bebas yang turut dianggotai oleh pakar-pakar bebas untuk menyiasat sekali lagi punca kejadian ini. Mungkin berikan kuasa Suruhanjaya Di Raja, dapatkan khidmat pakar dari dalam dan luar negara yang tiada kepentingan kerana ia melibatkan nyawa dan masadepan rakyat yang tinggal disepanjang 2,600 kilometer laluan paip ini bukan hanya di Putra Heights.

Rakyat berhak tahu punca yang sebenar dan rakyat berhak diyakinkan ianya tidak akan berulang lagi. Biar terbuka dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak atau kroni.

Berkata benar walaupun pahit.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Penganalisis politik – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -