Jangan biar duit rakyat bayar harga pencerobohan

Laporan tragedi Putra Heights

- Advertisement -

HULU LANGAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz menegaskan bahawa insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights tidak wajar dilihat hanya dari sudut tanggungjawab teknikal PETRONAS semata-mata.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan bekas Menteri Alam Sekitar, Yeo Bee Yin daripada DAP bahawa laporan dikeluarkan terhadap kejadian tersebut tidak membebaskan PETRONAS daripada liabiliti atas kejadian itu.

“Benar, sebagai pemilik aset, PETRONAS bertanggungjawab memastikan paipnya diselenggara dan diawasi dengan selamat setiap masa. Namun, realiti di lapangan menunjukkan ada faktor lain disaksikan banyak mata tetapi tidak keluar di dalam hasil siasatan.

“Hakikatnya, kawasan ‘Right of Way’ (ROW) saluran paip adalah zon penampan yang sepatutnya bebas daripada sebarang aktiviti pembinaan berisiko,” ujarnya turut memetik laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Menurutnya, laporan itu menunjukkan wujud aktiviti antropogenik iaitu pembangunan manusia yang mengubah topografi asal, melemahkan sokongan tanah sehingga sambungan kimpalan paip terdedah kepada beban kitaran merosakkan.

“Analogi mudah, jika seseorang menceroboh masuk rumah kita, memecahkan tingkap, lalu dia sendiri tercedera akibat serpihan kaca, adakah adil tuan rumah dipersalahkan sepenuhnya?

“Sedangkan penceroboh sebenar yang menjadi punca bencana disembunyikan identitinya? Begitu juga dalam isu ini. Apabila kawasan sensitif diusik tanpa kawalan, risiko runtuhan atau mendapan tanah meningkat mendadak, menjejaskan keselamatan saluran paip.

“Mengapa aspek ini didiamkan, sedangkan PETRONAS iaitu syarikat milik rakyat telah menanggung puluhan juta ringgit akibat insiden ini dan terpaksa pula membeli gas dari pembekal luar negara, termasuk Thailand, demi memastikan bekalan tenaga negara tidak terputus?

“Inilah kerugian berganda yang ditanggung syarikat milik rakyat; membaiki paip, membayar pampasan, menanggung kos pembelian gas pada kadar pasaran luar yang lebih mahal,” ujarnya.

Kata beliau semua itu menekan hasil negara yang sepatutnya kembali kepada rakyat dalam bentuk biasiswa, subsidi dan pembangunan, selain rakyat tidak boleh membiarkan hasil negara hangus untuk membayar harga akibat tragedi tersebut.

Kerana hujahnya lagi, bencana tersebut menyaksikan wujud kelemahan penguatkuasaan dan ketiadaan kawalan pembangunan di zon perlindungan yang sepatutnya dipelihara dengan ketat.

Beliau bersetuju secara prinsip yang jelas, jika berlaku kelemahan atau kelalaian teknikal dalaman, PETRONAS tetap perlu menjalankan kerja membaiki dan membayar pampasan dengan adil.

Namun katanya, jika insiden ini berpunca daripada kerja pencerobohan, aktiviti tanah haram atau kelulusan cuai, maka kontraktor serta mana-mana agensi atau pihak berkuasa yang membenarkan pelanggaran ini mesti turut dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

“Kita tidak boleh terus membiarkan hasil negara menampung kerugian berulang akibat penguatkuasaan yang longgar. Saluran paip strategik seperti ini mesti diaudit secara berkala dan terbuka, zon ROW dikawal ketat sebagai kawasan penampan bebas gangguan.

“Pihak yang bersubahat melindungi pembangunan haram wajar disiasat secara menyeluruh serta dikenakan tindakan tanpa kompromi. Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh terus berselindung.

“Mereka wajib menjawab siapa yang mendapat untung daripada kelulusan pembangunan di zon perlindungan ini, di mana penguatkuasaan gagal, dan bagaimana keselamatan rakyat akan dijamin supaya insiden seumpama ini tidak berulang,” gesanya.

Tegas Ustaz Nushi, PETRONAS ialah amanah rakyat dan mesti dilindungi dengan penuh tanggungjawab agar hasilnya benar-benar kembali kepada rakyat, bukan terus hangus membayar harga kerakusan segelintir yang sanggup mencemar amanah.

“Semoga Allah melindungi rakyat yang dizalimi dan menurunkan hukuman setimpal kepada mereka yang mengkhianati amanah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -