
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mendesak kerajaan negeri pimpinan Umno supaya berhenti bersandiwara dan segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang membelenggu rakyat sejak puluhan tahun.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, selepas lebih 60 tahun memerintah, kerajaan negeri masih gagal memastikan seluruh rakyat menikmati kemudahan asas yang sepatutnya menjadi hak semua.
“Baru-baru ini, laporan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) telah mengeluarkan satu statistik di Pahang yang mana lebih 5,000 rumah di Pahang masih tidak menikmati bekalan air bersih.
“Apabila laporan ini tular, kerajaan negeri yang dipimpin Umno mula menunding jari kepada negeri lain untuk menutup kegagalan mereka menguruskan masalah air di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Loji Rawatan Air Sungai Bilut di Raub dan LRA Semambu gagal disiapkan mengikut jadual.
“Kami Pemuda PAS Pahang, mendapati terdapat beberapa projek sakit dan tidak dimulakan lagi bagi Bekalan Air Pahang dibawah RMK12 antaranya projek Loji Rawatan Air Sungai Bilut Raub yang telah lewat siap daripada tarikh asal selamat 739 hari berdasarkan apa yang dinyatakan didalam Laporan Ketua Audit Negara 3/2024.
“Projek LRA Semambu yang mana statusnya sama ada terhenti atau terbengkalai ataupun lewat daripada jadual yang sepatutnya siap ataupun masih belum dimulakan lagi. Kami melihat situasi sebegini sebagai satu bentuk kelemahan dalam mengurus permasalahan yang sedang berlaku.
“Jika isu peruntukan, kami kira Kerajaan Pahang dibawah RMK 12 telah diluluskan peruntukan untuk Bekalan Air sebanyak RM175.3 juta tetapi jumlah yang digunakan hanya RM67.56 juta setakat laporan Audit suku 3/2024. Persoalan kini RMK 12 akan tamat pada hujung 2025, adakah projek-projek ini akan siap sebelum berakhirnya RMK12?” soalnya.
Susulan itu, Pemuda PAS Pahang menuntut penubuhan jawatankuasa khas pemantau projek air yang dianggotai wakil pelbagai parti.
“Kita juga minta kerajaan negeri dedahkan secara telus dan terbuka status semua projek air di bawah RMK-12 supaya rakyat tahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Pemilihan kontraktor pula mesti dibuat berdasarkan kecekapan, bukannya secara kronisme. Selain itu, sediakan pelan kontingensi air bersih untuk kawasan terjejas dan uar-uarkan secara terbuka kepada rakyat.
“Kami sebagai rakyat Pahang yang cintakan negeri ini mahukan permasalahan ini selesai untuk kesejahteraan rakyat. Air ini bukan soal politik tetapi ini hak rakyat. Sebagai kerajaan solusi yang patut diberi bukan alasan dan sindiran kepada negeri lain yang rakyat dambakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











