
KUALA TERENGGANU: Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan, membantu menyelaraskan pengurusan jenazah tiga mangsa tragedi bot pelancong yang terbalik di perairan Pulau Perhentian.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikenal pasti sebagai Arumugam Sativelo, 40, dan anak perempuannya, Sarrvihka Arumugam, 3, kedua-duanya dari Butterworth, Pulau Pinang, serta Vennpani Vijeya Raj, 10, dari Sungai Petani, Kedah.
Seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sakthivel Tamil Selvan, 6, dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Menurut Balachandran, kerajaan negeri turut membantu menyediakan penginapan dan keperluan keluarga mangsa sepanjang tempoh rawatan sehingga adik Sakthivel dibenarkan keluar hospital, manakala jenazah dibawa pulang ke kampung halaman mereka.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, yang diketuai oleh Dr Siti Wira Md Yaro, atas kecekapan, keprihatinan dan dedikasi memudahkan proses pengurusan jenazah.
“Serta membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa. Turut bersama dalam misi ini ialah Pasukan Mental Health and Psychosocial Services (MHPSS) yang diketuai oleh Dr Husni Zaim Ab Latiff.
“Dr Husni telah memainkan peranan penting dengan memberikan psychological first aid dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa yang sedang melalui saat-saat penuh kesedihan dan trauma,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menziarahi Sakthivel yang kini dilaporkan stabil dan ditemani ibu bapanya.
“Terima kasih juga kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertugas tanpa mengira penat lelah, jasa anda amat dihargai,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Sabtu, bot yang membawa 15 penumpang berusia antara 3 hingga 40 tahun itu terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil.
Seramai 11 mangsa yang terselamat kini dirawat di Hospital Besut. – HARAKAHDAILY 1/7/2025












