
Soalan:
Ada sebuah hadis yang menyebut tentang kelebihan membaca Quran beramai-ramai di dalam masjid mendapat kelebihan yang amat banyak. Soalan saya, kalau buat kumpulan membaca Quran di rumah atau di sekolah adakah mendapat fadilat yang sama seperti yang tersebut dalam hadis itu kerana saya ada membuat kumpulan muslimat membaca Quran di rumah setiap petang Jumaat? Bagaimana pula setengah orang yang melarang berkumpul baca Quran di rumah kerana tidak ada dalil menyuruh berbuat seperti itu?
Jawapan:
Terlebih dahulu kita lihat hadis yang dimaksudkan.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Ertinya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di dalam sebuah masjid dari segala masjid membaca mereka itu akan kitab Al-Quran dan saling belajar akan Al-Quran itu sesama mereka melainkan akan turun atas mereka itu ketenangan dan meliputi akan mereka itu oleh rahmat dan mengelilingi mereka itu oleh para malaikat dan Allah akan menyebut nama-nama mereka di sisi makhluk yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Walaupun dalam hadis ini menyebut berkumpul membaca Quran itu di dalam masjid akan tetapi ulamak-ulamak berkata tidak disyaratkan masjid akan tetapi mencakupi juga tempat yang lain kerana yang dimaksudkan disini ialah kelebihan membaca Quran itu sendiri.
Berkata Imam Nawawi:
ويلحق بالمسجد في تحصيل هذه الفضيلة الاجتماع فى مدرسة ورباط ونحوهما إن شاء الله تعالى ويدل عليه الحديث الذي بعده فإنه مطلق يتناول جميع المواضع ويكون التقييد في الحديث الأول خرج على الغالب
Ertinya: “Dan dihubungkan dengan masjid itu pada menghasilkan fadhilat ini dengan berkumpul di sekolah atau pondok dan umpama keduanya insya-Allah. Dan menunjuklah oleh hadis yang selepasnya bahawa maksudnya mutlak tiada kait yakni mencakupi semua tempat cuma dalam hadis yang pertama dikaitkan dengan masjid kerana ghalib orang dahulu berkumpul di masjid.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)
Kesimpulan
Berkumpul membaca Quran di tempat selain masjid seperti di rumah atau di sekolah atau di pondok atau di mana sahaja adalah termasuk amal soleh yang pasti akan mendapat fadhilat yang sama sebagaimana yang disebut di dalam hadis.
Dan jika ada orang yang melarang akan orang lain membaca Quran maka orang itu sebenarnya adalah syaitan.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











