
KUALA LUMPUR: Mahasiswa tidak boleh lagi berpeluk tubuh dalam menghadapi kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) terhadap rakyat Palestin dan Iran.
Timbalan Pengerusi Siswa PAS, Aziz Zakwan Rozi berkata, himpunan yang diadakan bukanlah berteraskan mana-mana parti politik, sebaliknya digerakkan atas nama kemanusiaan sejagat.
“Alhamdulillah, hari ini kita berhimpun bukan atas dasar parti politik, tetapi atas dasar kemanusiaan,” katanya dalam ucapan Himpunan Bantah Serangan Terhadap Iran di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini pada Jumaat.
Beliau menyelar sikap acuh tak acuh segelintir mahasiswa yang hanya leka melayari media sosial tanpa mengambil peduli isu penindasan yang berlaku di Palestin dan Iran.
“Mahasiswa di Palestin tiada tempat untuk belajar kerana universiti mereka dibom dan diceroboh, malah ramai mahasiswa dibunuh.
“Jadi kalau kita di sini hanya duduk diam di rumah atau universiti tanpa bangkit melawan Amerika Syarikat, di mana kita nak letak muka kita?” katanya.
Aziz Zakwan turut mengajak seluruh mahasiswa untuk menyebarkan kesedaran tentang isu kezaliman ini melalui pelbagai medium.
“Sebarkan dengan mulut, sebarkan dengan tangan, anda ada TikTok dan Instagram. Jangan hanya melayari isu-isu hiburan, tapi diam terhadap isu Palestin dan Iran,” tegasnya.
Beliau menyeru agar mahasiswa mengambil ibrah daripada penderitaan rakyat tertindas dan bangkit menyuarakan solidariti bersama masyarakat global yang menolak kezaliman.
“Bayangkan jika ibu ayah kita sendiri yang dirogol dan dibunuh. Bayangkan kalau anak-anak kita dibom dan dihancurkan. Oleh itu, saya ajak kalian semua bangkit bersama-sama,” katanya.
Beliau menutup ucapannya dengan laungan semangat kepada para peserta himpunan.
“Jika Amerika dan Israel teruskan kezaliman ini, mahasiswa akan bangkit! Setuju atau tidak?” serunya disambut laungan semangat peserta,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2025











