Muslimat tampil proaktif, berstrategik dan berkepimpinan

- Advertisement -

KINABATANGAN: Tugas muslimat bukan hanya menjadi sayap dalam parti dan membantu gerak kerja belakang tabir sahaja tetapi turut berperanan dalam menghadapi cabaran semasa serta menggariskan hala tuju yang jelas berpaksikan perjuangan Islam.

- Advertisement -

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Tawau, Rozhayuni Husen (foto atas) berkata, muslimat mesti tampil sebagai tulang belakang yang proaktif, berstrategik dan berkepimpinan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang semakin hampir menuntut seluruh jentera khususnya muslimat agar menggandakan usaha, menyusun kekuatan dan meningkatkan kesepaduan dalaman.

“Kita telah mendengar laporan, pembentangan mahupun perbahasan sepanjang muktamar dan perlu membuka ruang penambahbaikan serta pengukuhan gerak kerja muslimat di semua peringkat cawangan, kawasan dan negeri.

“Kita juga perlu menyusun saf muslimat negeri yang lebih tersusun,kuat dan berstrategi agar mampu menempuh cabaran zaman dan mencapai impak yang lebih luas,” ujarnya dalam sesi penangguhan sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS) kali ke-35, di sini, semalam.

Perwakilan Muslimat PAS Kota Belud, Dilah Rebin pula menyeru untuk menjulang martabat wanita Islam agar mampu berdiri sebagai pemimpin dan berpegang teguh pada identiti sebagai muslimah serta berkomitmen terhadap amanah serta kewajipan utama.

“Muslimat bukan sekadar pemerhati tetapi juga sebagai pemacu perubahan asalkan muslimat bersatu, tersusun dan mempunyai arah perjuangan yang lebih jelas.

“Kita perlu menjadikan tokoh wanita dalam sejarah Islam sebagai idola yang mampu menginspirasi serta membangun masyarakat berdasarkan Al-Quran dan sunnah,” ujarnya.

Dilah turut menyeru agar muslimat tidak selamanya menjadi sayap tetapi menjadi teras dan nadi kepada pembinaan ummah serta menjadi muslimah yang bukan hanya baik untuk rumah tangga tetapi juga hebat untuk negara.

Nurhayati Sutekno

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan, Nurhayati Sutekno, pula berkata, kekuatan PAS terletak kepada tiga tunjang utama iaitu tarbiah, siasah dan dakwah bagi membina kekuatan dalaman diri pimpinan dan ahli untuk memperjuangkan Islam.

Menurutnya, berdasarkan tiga teras utama PAS, tarbiah menjadi paling penting bagi membina kekuatan dalam diri pimpinan dan ahli dalam mempertahankan dasar serta tujuan parti.

“Tarbiah mesti diaktifkan di semua peringkat iaitu peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

“Selain itu, tarbiah mesti menekankan kefahaman dan seterusnya dapat menyuburkan amal,” ujarnya.

Menurutnya, di peringkat PAS sendiri perlu memperkasakan pengurusan dan teknikal pelaksanaan program seperti penggunaan uslub mahupun wasail serta memperkasakan penglibatan naqibat pelatih APSA.

Sementara itu, menurut perwakilan Papar, Azizah Salleh, kerja jemaah bukan tentang siapa lebih menonjol, tetapi tentang siapa tetap istiqamah dalam setiap keadaan.

Katanya, kepimpinan perlu mendengar dan membimbing serta bersama ahli, bukan sekadar berada di atas.

“Pentingnya komunikasi dan ukhuwah kerana kita tidak mahu jemaah ini longgar disebabkan kesalahfahaman.

“Setiap tenaga dan peluh walau nampak kecil tetapi memberi impak dan diiringi dengan niat yang ikhlas,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2025

- Advertisement -