35 tahun Muslimat PAS Sabah tampil entiti matang, berpengaruh

Norsah Bongsu
- Advertisement -

KINABATANGAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS), Norsah Bongsu berkata muslimat PAS harus berani melangkah lebih jauh dalam membina jaringan ukhuwah bersama tokoh-tokoh luar yang berkongsi pelbagai bidang kepakaran agar tampil sebagai pakar rujuk yang diyakini masyarakat.

- Advertisement -

Menurut beliau penubuhan Dewan Muslimat PAS negeri genap 35 tahun tampil sebagai sebuah entiti yang matang, berpengaruh dan kaya dengan sumber insan berilmu serta berkemahiran tinggi.

“Kita bukan sahaja memiliki ahli yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, malah turut didukung oleh guru-guru PASTI yang mahir dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Kita juga mempunyai Muslimat PAS yang aktif dan berwibawa dalam lapangan dakwah dan kebajikan masyarakat, serta mempunyai tenaga mahir dalam pembangunan modal insan yang menjadi teras kepada kemajuan ummah,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan DMPNS, hari ini.

Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr. Rosni Adam. Turut hadir adalah Pengerusi Jabatan Muslimat Profesional, Dr. Siti Aminah Muhammad Imran dan Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid.

Kata Norsah lagi, DMPNS telah genap lima tahun menerapkan konsep AKIFI sebagai asas pemilihan tema muktamar sebagai bukti dan kesungguhan membina jentera muslimat yang berilmu (A’lim), bergerak aktif dalam gerak (Haraki), serta memiliki jiwa rohani yang sejahtera (Sufi).

Tambahnya, muslimat PAS mesti terus memperkemas dan memperkukuh sistem pentadbiran organisasi secara sistematik, profesional dan efisien di semua peringkat dari peringkat negeri hingga ke cawangan.

Beliau juga menegaskan agar seluruh perwakilan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memperkasa jentera pentadbiran, penerangan, dakwah dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya lagi, muslimat PAS mestilah menjuarai isu rakyat dengan berkesan, terutamanya melalui penglibatan aktif sayap muda
muslimat dan seluruh lapisan ahli. – HARAKAHDAILY 28/6/2025

- Advertisement -