
KALABAKAN: Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Ahmad Dullah amat teruja dengan penglibatan generasi muda dalam agenda kebajikan dan pembangunan komuniti.
“NGO hari ini terdiri daripada anak-anak muda sebagai penggeraknya. Seronok saya bergerak, kerja dengan orang-orang muda ini sebab semangatnya kuat dan tenaganya masih ada,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sempena program anjuran Semarak Kasih Tawau (SEKATA), Muslim Care Malaysia (MCM) dan Komuniti Misi Kebajikan (KMK) melibatkan sukarelawan muda bersama jentera PAS cawangan telah mengedarkan bantuan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan di Warung Family Mee Tauhu, bersebelahan Masjid An-Nur, Pasir Putih, di sini, petang semalam.
Semangat kerjasama anak muda dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama PAS Cawangan Pasir Putih dapat dilihat apabila seramai 100 penerima asnaf disantuni dalam program Misi Kasih Asnaf Tanjung Batu Sejahtera yang berlangsung .
Ahmad yang juga merupakan penasihat SEKATA turut berterima kasih kepada penduduk Kampung Pasir Putih kerana kesudian hadir menerima sumbangan dalam Misi Kasih Asnaf kali ini.
“Terima kasih kepada para ibu dan bapa Kampung Pasir Putih yang sudi hadir menerima sumbangan hari ini,” ujarnya.
Program seumpama itu akan diperluas ke kampung-kampung lain dalam kawasan Kalabakan dengan fokus memperkasa penglibatan sukarelawan belia dan memperkukuh solidariti masyarakat menjelang pilihan raya negeri.

Sumbangan yang diberikan adalah barangan asas seperti beras, telur, gula, makanan kering dan keperluan harian kepada penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan.
Salah seorang penerima, Melati, turut berkongsi rasa syukur atas keprihatinan pihak penganjur.
“Sumbangan ini sangat membantu kami sekeluarga dan saya bersyukur masih ada anak muda yang membantu kami untuk mendapatkan bantuan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2025











