Pelantikan jawatan utama: Wujud dua standard, rakyat kian sangsi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan berhubung pelantikan dan penyambungan jawatan utama dalam institusi negara semakin mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dan konsistensi pentadbiran hari ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kewujudan ‘dua standard’ dalam pelantikan melibatkan tokoh-tokoh utama negara.

Beliau merujuk kepada keputusan tidak menyambung perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, meskipun tokoh berkenaan menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk komuniti perundangan, akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat terbanyak.

“Ruang penyambungan itu dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, namun tidak diambil oleh kerajaan. Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menerima bantahan meluas termasuk daripada Ahli Parlimen dan tokoh undang-undang, telah disambung perkhidmatannya sebanyak tiga kali,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tidak mempertikaikan kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan, persoalan lebih besar adalah apakah standard atau kriteria yang digunakan dalam membuat pertimbangan pelantikan tersebut.

“Adakah merit dan integriti masih menjadi asas, atau pertimbangan politik telah mengatasi segala-galanya?” soal beliau.

Ahmad Fadhli turut menimbulkan persoalan sama ada keputusan tidak menyambung perkhidmatan Tun Tengku Maimun berpunca daripada beberapa kenyataan dan keputusan beliau yang tidak selari dengan kehendak kerajaan.

“Perlu ditegaskan, bukanlah saya mempertahankan semua keputusan Tun Tengku Maimun. Bahkan, ada yang mungkin tidak selari dengan aspirasi perjuangan PAS. Namun, yang dipersoalkan ialah kriteria dan asas pertimbangan yang digunapakai oleh kerajaan,” tambahnya.

Beliau memberi amaran bahawa jika prinsip dan ketegasan dijadikan sebab untuk ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian dijadikan alasan untuk dilanjutkan, maka kerajaan sedang menghancurkan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara.

“Ketelusan bukan lagi pilihan – ia adalah keperluan mendesak dalam menjunjung kedaulatan undang-undang. Hentikan permainan persepsi. Tegakkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kewibawaan institusi,” tegasnya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menyindir bahawa kerajaan hari ini boleh sahaja meneruskan budaya sedia ada, namun dengan peringatan keras bahawa “anda hampir pasti tidak akan kekal menjadi kerajaan selepas PRU16.” – HARAKAHDAILY 29/6/2025

- Advertisement -