Meneruskan perjuangan bina peradaban

Perutusan Presiden PAS sempena Awal Muharram 1447H Hijrah

- Advertisement -

KITA menyambut Awal Muharram bukan sekadar mengenang peristiwa sejarah, tetapi sebagai tanda menyambung legasi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Hijrah adalah titik tolak kepada terbentuknya masyarakat Islam yang berdaulat berpaksikan wahyu, menegakkan keadilan, dan menjunjung nilai kemanusiaan sejagat.

Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan diri, tetapi merupakan satu gagasan besar perubahan iaitu memindahkan umat daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kezaliman kepada sistem pemerintahan Islam yang adil. Di Madinah, Baginda membina asas tamadun yang berteraskan aqidah, syariah, ukhuwah dan kepimpinan yang amanah.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran mengenai jaminan kepada mereka yang berhijrah:

- Advertisement -

‎﴿وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا١٠٠﴾

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 100)

Ayat ini menggariskan nilai keberanian dan keikhlasan dalam perjuangan, bahawa setiap langkah yang diambil demi menegakkan agama Allah tidak akan sia-sia, bahkan diganjari dengan kemuliaan di sisi-Nya.

Oleh itu, semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam kehidupan semasa dengan memperjuangkan kebenaran, membina masyarakat yang adil, memperkukuh ukhuwah, serta menolak segala bentuk penindasan dan kezaliman.

Kita tidak boleh berundur dalam usaha menegakkan Islam, biarpun berdepan dengan tekanan dan cabaran yang mencabar kesatuan dan jati diri umat.

Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan Salam Maal Hijrah 1447H kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan kedamaian.

Semoga tahun baharu ini menjadi medan untuk kita memperbaharui niat dan tekad, agar kekal istiqamah di atas jalan yang benar, menegakkan risalah Islam dan memperkukuh perpaduan ummah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -