Tahniah DS Amir Hamzah galas tugas Menteri Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggalas tugas Menteri Ekonomi telah mengesahkan pandangan sesetengah pihak bahawa Pakatan Harapan (PH) dan PKR ketandusan Ahli Parlimen yang layak memegang jawatan itu.

Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional, Mohd Syahir Che Sulaiman bagaimanapun menyambut baik berita pelantikan Menteri Kewangan II tersebut untuk menjalankan tugas Menteri Ekonomi yang dikosongkan Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli.

“Sememangnya pelantikan ini amat tepat, mengambil kira latar belakang profesional dan korporat dimiliki Datuk Seri Amir Hamzah, seorang tokoh teknokrat disegani. Namun tugasan ditaklifkan kepada beliau amatlah berat.

“Baharu semalam dilaporkan, mekanisma pelaksanaan subsidi petrol bersasar masih dalam perincian, hari ini ditugaskan pula untuk mengolah dan merombak semula dokumen RMK13; yang difahamkan kedua-dua tugasan ini telah disiapkan oleh YB Rafizi sebelum ini.

“Malah pelantikan Menteri Kewangan II menjalankan tugas dan fungsi itu menimbulkan persoalan terhadap kualiti hasil kerja ditinggalkan YB Rafizi sebelum beliau melepaskan jawatan Menteri Ekonomi,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bachok tersebut mengulangi semula saranan awal terhadap formulasi penggubalan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang pernah diajukan beliau sebelum ini melibatkan lima perkara penting.

“Pertama, meneruskan peruntukan 50 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) kepada enam negeri sedang membangun, sebagaimana digariskan dalam RMK12.

“Kedua, melaksanakan dasar cukai progresif, bukannya regim cukai regresif, supaya insiden cukai lebih dikenakan kepada golongan terkaya, bukannya peluasan kesan cukai kepada golongan terbanyak.

“Ketiga, merangka formula baharu perkongsian hasil dan sumber cukai di antara negeri dan persekutuan, termasuk agihan royalti petroleum yang lebih telus dan adil kepada negeri pengeluar minyak.

“Keempat, pengupayaan bakat dan pemilikan tempatan dalam sektor pelaburan, perkhidmatan, pertanian, dan industri berkemahiran tinggi, bagi menjamin kemampanan ekonomi di masa hadapan,” ujarnya.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu juga mengingatkan untuk mempersiapkan Malaysia ke arah ‘negara menua’ dalam aspek kualiti hidup, penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang menyeluruh.

“Saya mendoakan Datuk Seri Amir Hamzah diberikan ilham dan kekuatan untuk mengemudi dua kementerian yang amat penting ini, dalam tempoh yang amat kritikal untuk Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -