
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak 8 peratus ke atas perkhidmatan kewangan oleh pihak bank bermula 1 Julai ini disifatkan sebagai satu beban tambahan kepada rakyat marhaen, tegas Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat itu mempersoalkan kenyataan kerajaan bahawa peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kononnya tidak akan menjejaskan rakyat.
Sedangkan ujar beliau, realitinya bank akan memindahkan beban cukai itu kepada pengguna perkhidmatan kewangan, termasuk individu dan syarikat.
“Kerajaan cukai bank, bank pula serah kepada pengguna. Sifir dia mudah. Akhirnya, rakyat marhaen yang terpaksa bayar,” tulis beliau.
Menurut beliau, antara perkhidmatan yang akan terkesan termasuk pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan, tanpa mengambil kira nilai rumah atau kenderaan yang dibeli.
“Ini secara langsung akan menjejaskan anak muda dan golongan berpendapatan sederhana yang kini semakin sukar memiliki aset seperti rumah dan kereta,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan bagaimana cukai tersebut akan dibayar.
“Takkan rakyat marhaen nak bayar cash? Kalau dimasukkan dalam pinjaman, maka bayaran bulanan pun naik,” katanya sambil menegaskan bahawa ini bakal mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat dan menambahkan kesempitan hidup.
Nurul Islam turut menyentuh tentang keuntungan besar yang dicatatkan oleh bank-bank utama seperti Maybank (RM10.09 bilion), CIMB (RM7.73 bilion), dan RHB (RM3.1 bilion) pada tahun 2024.
Sekali gus beliau mempersoalkan tindakan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas perkhidmatan kewangan yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.
Beliau turut menyindir Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan gelaran ‘Cukaiman – Bapa Cukai Negara’, merujuk kepada dasar ekonomi semasa yang dilihat terlalu bergantung kepada cukai dan pemotongan subsidi.
“Dulu sebelum jadi Perdana Menteri, bukan main sembang. Sekarang formula dia dua je, cukai dan hapus subsidi,” sindir beliau.
Pihak HarakahDaily difahamkan bahawa dasar peluasan SST ini dijangka menjana pendapatan tambahan sekitar RM10 bilion kepada kerajaan.
Namun, kerajaan turut menerima kritikan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bimbang dengan kesannya kepada kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 26/6/2025











