Pencapaian anak Malaysia perlu dirai, bukan dipersoal

‘Tahniah daripada PAS buat Leftenan Jeneral Dato’ Johnny Lim’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengambil maklum dan memandang serius kontroversi melibatkan seorang pemimpinnya di peringkat PAS Kawasan seperti dilaporkan oleh media.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (foto atas) berkata, ia berkait satu muat naik situasi andaian kepimpinan negara pada masa depan oleh individu terbabit di laman sosial miliknya.

“Perlu ditegaskan bahawa catatan itu atau mana-mana catatan lain seumpamanya adalah pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan, malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS yang sah.

“(Ia) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan PAS, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti atau kenyataan rasmi yang dibuat dari masa ke masa,” ujarnya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, PAS komited dan menjunjung tinggi prinsip serta realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat yang perlu dipupuk dengan sebaik-baiknya.

“Komitmen ini terakam dalam sejarah PAS sejak awal, selain terpancar dalam banyak inisiatif dan aktiviti parti yang tidak pernah kenal lelah.

“Kepelbagaian dan perbezaan latar belakang tidak boleh sama sekali dijadikan alasan atau sebab untuk berlaku tidak adil terhadap mana-mana anggota masyarakat,” jelasnya.

Menurutnya, ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghalang kemajuan, peluang, pencapaian, kebolehan atau cita-cita sah mana-mana individu dan kalangan.

Katanya, sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam PAS, selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.

“Pelantikan Dato’ Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.

“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya. Tahniah daripada PAS buat Leftenan Jeneral Dato’ Johnny Lim,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar semua pemimpin dan ahli parti berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh bercanggah dengan dasar atau kepentingan parti.

“PAS sentiasa dan terus memberi peringatan agar ahli-ahli PAS kekal cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan kerana ketegasan kita dalam soal adab, susila mahupun disiplin seperti mana yang tercerna dalam Perlembagaan PAS adalah tiada toleransi.

“Sayugia setiap ahli PAS sentiasa ingat bahawa salah satu syarat untuk menjadi ahli PAS adalah ‘mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa’, inilah yang selalu disebut sebagai wala’ dan taat kepada parti,” tegasnya.

Tambahnya, PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat.

“Sesungguhnya PAS amat serius dalam hal ini dan ia dizahirkan dengan jelas dan nyata apabila Muktamar PAS pada tahun 2024 telah meluluskan pindaan Perlembagaannya untuk membuka keahlian PAS kepada semua rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan keturunan.

“Tegasnya, PAS sentiasa komited dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara dan cita-cita kebangsaan seperti yang digambarkan dalam penggubalan prinsip-prinsip Rukun Negara pada 31 Ogos 1970.

“(Ia) yang antara lain bermatlamatkan pencapaian perpaduan kaum yang lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil dengan kemakmuran negara dikongsi bersama, membentuk sikap terbuka terhadap tradisi budaya yang kaya dan pelbagai serta membina masyarakat yang progresif dan saintifik,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2025

- Advertisement -