
SUNGAI BULOH: Masalah kekurangan parking yang membelenggu Klinik Kesihatan Paya Jaras sejak sekian lama perlu diberi perhatian segera demi keselamatan dan keselesaan rakyat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, lokasi klinik bersebelahan Jalan FT54 yang sibuk itu telah menyukar dan menjejaskan keselamatan pengunjung kerana terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan.
“Pesakit dan pelawat yang hadir setiap hari terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan. Dianggarkan lebih 200-300 orang menggunakan perkhidmatan di sini setiap hari.
“Saya bersama pasukan Pusat Khidmat telah turun ke lokasi untuk meninjau sendiri situasi ini. Isu ini serius dan perlu diberi perhatian segera,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Bagi penyelesaian jangka pendek, beliau mencadangkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan berganding bahu menyelesaikan masalah parking kritikal demi keselamatan pengguna.
“Untuk jangka panjang pula, KKM perlu mengenal pasti tapak baharu yang lebih sesuai untuk Klinik Kesihatan Paya Jaras, lengkap dengan fasiliti, parking mencukupi dan kemudahan lain yang lebih selesa untuk rakyat.
“Saya akan bawa perkara ini kepada pihak berkuasa segera mungkin demi kesejahteraan para pesakit dan pelawat khususnya penduduk Paya Jaras,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor. – HARAKAHDAILY 26/6/2025











