
HULU TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM40,000 bagi pelaksanaan kajian penandaan peralatan nelayan darat sebagai usaha memperkukuh pengurusan sumber dan penguatkuasaan perikanan di perairan darat negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kajian itu menjadi asas pembangunan sistem penandaan yang jelas dan sah bagi peralatan nelayan darat, termasuk pukat tahan, rawai, taut dan jala.
“Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 pada tahun 2025 untuk melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat.
“Kajian ini akan membolehkan jabatan menentukan kaedah penandaan yang menunjukkan pemilikan peralatan yang digunakan oleh nelayan darat,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan dan Insentif Input Akuakultur serta Pelancaran Kajian Penandaan Peralatan Nelayan Darat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim; Pengarah Pertanian Negeri, Dr Sukati Sakka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut Pang, kajian itu akan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh, Perak (FRIKA), membabitkan 20 nelayan dari dua lokasi utama iaitu Sungai Dungun dan Tasik Kenyir, dengan masing-masing lokasi melibatkan 10 peserta.
“Tujuan utama kajian ini bukan sekadar merekod data, tetapi juga untuk membangunkan sistem pengurusan perikanan darat yang lebih teratur, termasuk memperkemas urusan pelesenan dan penguatkuasaan.
“Hasil kajian ini disasarkan dapat membentuk satu sistem rujukan rasmi bagi peralatan nelayan darat yang diiktiraf, sekali gus dapat digunakan sebagai asas bagi sebarang pindaan fi lesen pada masa akan datang,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











