
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius laporan mengenai seorang hakim kanan dipanggil oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung dakwaan campur tangan dalam urusan kehakiman.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat kepercayaan awam terhadap sistem keadilan negara.
“Pemuda PAS menyokong penuh gesaan oleh Badan Peguam Malaysia agar satu pendedahan rasmi dan telus dilakukan bagi memastikan kesahihan laporan tersebut, termasuk cadangan untuk mendapatkan minit mesyuarat JAC melalui saluran perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, kebebasan institusi kehakiman merupakan asas kepada kedaulatan undang-undang dan mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk pengaruh, termasuk politik, eksekutif dan pihak berkepentingan ekonomi.
“Sebarang bentuk gangguan terhadap integriti institusi kehakiman, adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perlembagaan, dan harus disiasat secara terbuka, menyeluruh dan segera,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.
Tambah Afnan, jika dakwaan tersebut benar, ia menandakan wujudnya usaha terancang untuk mengawal keputusan kehakiman bagi kepentingan tertentu, yang merupakan satu ancaman besar terhadap amalan demokrasi dan keadilan negara.
“Namun jika laporan ini tidak benar, pembersihan reputasi kehakiman juga wajib dilakukan secara adil dan telus, agar nama institusi kehakiman tidak terus tercemar oleh persepsi awam.
“Pemuda PAS Malaysia menyeru agar semua pihak, khususnya badan kehakiman, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), dan pihak Eksekutif, bertindak dengan penuh tanggungjawab.
“Telus dan profesional dalam menangani isu ini. Jangan ada sebarang usaha menyapu isu ini ke bawah karpet atau mengheret institusi kehakiman ke dalam kancah polemik politik sempit.
“Kami akan terus memantau perkembangan ini dan akan memainkan peranan sewajarnya untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan kebebasan institusi kehakiman dipertahankan sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2025











