
KOTA BHARU: Masalah air bertakung yang berlarutan sejak puluhan tahun sebelum ini dijangka dapat diselesaikan menerusi projek naik taraf longkang di Kampung Kota di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Kampung Angkat Madani membabitkan dana keseluruhan sebanyak RM1.7 juta.
Beliau berkata projek sepanjang kira-kira 1.8 kilometer (km) dari Kampung Kota sehingga Kampung Gaung itu dilaksanakan oleh syarikat konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam dua fasa.
“Projek ini akan disambung kepada fasa kedua oleh syarikat konsesi JKR, Roadcare dengan peruntukkan tambahan RM1.7 juta yang menyelesaikan isu perparitan membelenggu rakyat.
“Apabila siap kelak, projek ini diharap dapat menyelesaikan masalah saliran air yang menyebabkan air termenung terutamanya pada musim tengkujuh,” katanya pada sidang media kelmarin.
Terdahulu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar itu diiringi Pengarah JKR Kelantan, Ir Nik Soh Yaacob meninjau perkembangan projek.
Saizol berkata, beliau memberi jaminan bahawa projek naik taraf longkang dijangka siap sepenuhnya pada 13 Julai ini kemudian diikuti dfasa kedua yang akan dimulakan sebelum musim tengkujuh.

Menurutnya, banjir setinggi satu meter yang sering berlaku di kawasan bulatan Kampung Kota sehingga Kampung Gaung menyukarkan pergerakan 1,000 penduduk tempatan dan pengguna jalan raya.
Pihaknya menerusi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Salor sudah mengenalpasti beberapa lagi ‘lokasi panas’ yang memerlukan perhatian pihak berwajib termasuk di Kampung Mulong di sini.
Beliau berkata, masalah tersebut tidak boleh diselesaikan melainkan hubungan yang erat antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin.
“Selain itu, beberapa kawasan lain di DUN Salor turut dikenal pasti mengalami isu sama termasuk Kampung Mulong, yang kini turut menerima peruntukan dan sedang dalam pelaksanaan nanti.
“Kami amat bersyukur kerana kampung ini terpilih sebagai Kampung ANgkat Madani, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada JKR Kelantan atas komitmen membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2025











