
KANGAR: Pembinaan Wisma Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dilihat sebagai titik tolak kepada era baharu sistem pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, sekali gus memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat negeri ini.
Lebih tiga dekad beroperasi di premis sementara, akhirnya MPK bakal memiliki bangunan sendiri, hasil kesungguhan berterusan yang dizahirkan oleh pentadbirannya dalam memperjuangkan kemudahan prasarana yang lebih tersusun dan selesa.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pembinaan Wisma MPK yang terletak di atas lot tanah PT 4451, Mukim Utan Aji itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada warga kerja MPK, malah lebih penting sebagai pemangkin kepada budaya kerja yang lebih efisien dan berorientasikan rakyat.
“Bangunan yang lebih selesa bukan sekadar untuk kakitangan tetapi yang lebih utama ialah kemudahan buat rakyat yang datang berurusan. Pemodenan fizikal perlu disusuli dengan perubahan sikap serta budaya kerja yang lebih mesra rakyat dan cekap.
“Saya berharap MPK dapat melaksanakan projek ini dengan penuh akauntabiliti, supaya ia benar-benar menjadi mercu tanda pentadbiran yang berwibawa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah Wisma MPK di Persiaran Wawasan, di sini kelmarin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata cadangan pembinaan bangunan tersebut sebenarnya telah wujud sejak tahun 2006, namun pelbagai kekangan menyebabkan ia tertangguh untuk tempoh yang panjang.
“Alhamdulillah, pentadbiran MPK hari ini berjaya mengangkat semula cadangan dan mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri pada Februari lalu,” katanya.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth turut hadir memeriahkan majlis. – HARAKAHDAILY 26/6/2025











