
KOTA RAJA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Raja menyatakan kebimbangan dan rasa kecewa yang mendalam terhadap pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar tarif elektrik bermula 1 Julai 2025.
Serta pelaksanaan pengapungan harga petrol RON95 yang dijangka menyaksikan peningkatan mendadak harga bahan api asas tersebut, keluh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Raja, Muhd Fadhlullah Al-Amin.
Beliau berkata, langkah tersebut dilihat sangat tidak bertanggungjawab, terutama dalam keadaan ekonomi rakyat yang masih belum pulih sepenuhnya pasca pandemik dan tekanan inflasi yang berterusan.
Katanya, kenaikan kos elektrik dan bahan api secara langsung akan menaikkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang ramai tinggal di kawasan bandar dan separa bandar seperti di Parlimen Kota Raja.
“Kami menolak keras sebarang alasan teknikal atau rasionalisasi subsidi yang tidak disertakan dengan pelan mitigasi yang jelas dan berkesan bagi membela nasib rakyat terbanyak.
“Penduduk di Kota Raja yang majoritinya bekerja dalam sektor swasta, perkhidmatan, dan peniaga kecil akan menerima impak langsung daripada keputusan tidak prihatin ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Raja katanya, menggesa kerajaan agar membatalkan pengapungan harga RON95 dan mengekalkan subsidi bersasar yang adil dan telus.
Kerajaan juga gesanya perlu mengkaji semula kadar tarif elektrik, khususnya bagi pengguna domestik dan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.
Selain itu tambahnya, kerajaan digesa supaya mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak tunduk kepada desakan pihak korporat atau badan kewangan antarabangsa yang sering mengabaikan realiti rakyat di lapangan.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru rakyat untuk bangkit bersuara secara aman dan demokratik menolak dasar-dasar kerajaan yang membebankan itu serta menilai semula kepimpinan yang ada hari ini dalam pilihan raya akan datang.
“Justeru mari sama-sama kita turun secara aman untuk menyatakan kekecewaan kepada kepimpinan negara semasa ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai 2025 di KL. Ayuh anak muda bangkit!” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2025











