
KOTA BHARU: Kelantan sekali lagi menjadi pentas penting dalam perjuangan global membela Palestin apabila Echo of Palestine: International Muslim Youth Summit dilangsungkan di Hotel H Elite, di sini kelmarin.
Majlis menghimpunkan tokoh-tokoh ulama, aktivis, ahli akademik dan ratusan belia dari dalam dan luar negara itu membawa penegasan kepentingan bumi Palestin sebagai tanah yang diberkati dan amanah suci umat Islam.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan dalam ucapannya berkata, Palestin adalah tanah para nabi, tanah iman dan syahid di mana ia bukan isu sempadan, tetapi amanah diberikan oleh Allah kepada umat Muhammad SAW untuk dijaga dan dibebaskan.
“Dari Nabi Ibrahim hingga Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk Mikraj, bumi ini sentiasa berada dalam dakapan para mukmin,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Beliau turut menyelar penyelewengan maklumat oleh media Barat dan menegaskan keperluan untuk memberikan ruang kepada suara ulama rabbani dalam membina kefahaman umat.
“Media masa kini harus menjadi medan kebenaran, bukan fitnah. Umat Islam mesti diberi peluang untuk mendengar penjelasan daripada ulama sebenar, bukan disuap dengan propaganda yang menggambarkan umat Islam sebagai pengganas dan membina sentimen Islamofobia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang disifatkan sebagai antara suara paling tegas membela Palestin melalui pena dan ucapan.
“Kita di Malaysia berbangga memiliki tokoh seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang konsisten mengangkat isu Palestin dalam penulisan dan pidatonya. Beliau adalah suara kebenaran yang menggerakkan kesedaran dan menyatukan kekuatan umat,” ujarnya.
Sidang kemuncak selama dua hari ini berlangsung dengan tema “A Voice of the Voiceless” menekankan kebangkitan suara belia, kerjasama serantau dan penolakan terhadap penyelesaian dua negara.
Ia menjadi pentas penting untuk menyemarakkan solidariti dan menyusun gerakan terancang demi pembebasan Palestin.
“Sidang ini hadir tepat pada waktunya, saat ramai umat hilang arah dan semangat dalam membela Palestin. Ia menjadi simbol kebangkitan semula, menyatukan NGO, akademik, pelajar dan ikon masyarakat untuk bersatu menolak normalisasi dan pendudukan Zionis,” ujarnya.
Beliau turut memuji ketegasan institusi besar seperti Al-Azhar dan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, serta keberanian tokoh-tokoh seperti Dr Ahmad al-Raysuni dalam mengecam kezaliman Israel secara terbuka.
Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan peranan generasi muda sebagai tulang belakang dalam menyebarkan naratif kebenaran melalui media sosial dan digital.
“Anak muda kini memainkan peranan penting dalam menyampaikan suara Palestin ke seluruh dunia. Gerakan ini mula menampakkan hasil, dengan semakin ramai selebriti, pelajar dan tokoh global tampil mempertahankan Palestin atas nama kemanusiaan,” ujarnya.
Echo of Palestine Summit turut mengadakan sesi panel, wacana strategik, pameran, dan lawatan lapangan, serta penggubalan resolusi rasmi oleh para peserta sebagai dokumen rujukan bersama dalam gerakan antarabangsa membela Palestin. – HARAKAHDAILY 22/6/2025











