PAS Wilayah ucap tahniah kepada KPN baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan besar yang mencerminkan keyakinan tertinggi kepimpinan negara terhadap kredibiliti, ketegasan dan rekod cemerlang beliau sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PAS Wilayah Persekutuan mendoakan agar amanah yang besar ini dapat dipikul dengan penuh keadilan, integriti dan profesionalisme demi menjamin keselamatan rakyat serta keharmonian negara.

“Kami juga yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, institusi PDRM akan terus gah memelihara kedaulatan undang-undang dan membanteras segala bentuk jenayah dengan tegas dan berhemah.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan petunjuk kepada beliau dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Untuk rekod, Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai KPN secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun hingga 22 Jun 2027 dan beliau menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang menamatkan kontrak sebagai KPN hari ini.

Pelantikan itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Mohd Khalid, 60, yang dilahirkan di Manong, Perak, memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau merupakan seorang pegawai berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 5 April 1987 dan ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun sama.

Mohd Khalid pernah menjawat jawatan ‘key-post’ sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Pegawai Perhubungan Keselamatan (SLO) London, United Kingdom.

Selain itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.

Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 hingga kini.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM. – HARAKAHDAILY 22/6/2025

- Advertisement -