Harakah komited jadi media rasmi kepada SG4

Walau berdepan cabaran politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harakah akan terus memberikan komitmen sebaiknya untuk menjadi media rasmi kepada State Government 4 (SG4) yang merangkumi Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya tetap komited menjalankan peranan tersebut meskipun berdepan dengan cabaran dan ketidaktentuan dalam landskap politik semasa.

“Dalam suasana politik kami di SG4 yang berada di pihak pembangkang dan Harakah sendiri merupakan media yang tidak berada di arus perdana. Sudah tentu cabaran untuk menyertai komuniti media di peringkat arus perdana ini.

“Satu perkara yang agak perlu untuk diberikan perhatian. Walaupun demikian, kita akan terus memberikan komitmen untuk melaporkan dan menjadi media rasmi di peringkat SG4,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, di sini lewat malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Juga, Exco Kerajaan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil dan Penasihat Komunikasi SG4, Tan Sri Annuar Musa serta Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahya.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut berharap agar kesinambungan di antara komuniti media akan terus berterusan walaupun berbeza pandangan, ideologi dan manifestasi politik yang terpaksa dibawa mereka.

“Kita tahu komuniti media ini tidak besar. Ia akan bersama-sama dengan orang yang sama. Tak kira apa jua jenis media, tak kira apa jua komuniti media yang diwakili oleh mereka, tetapi kita akan berada di dunia yang sama.

“Justeru saya mengharapkan semua wartawan-wartawan yang ada termasuklah daripada Harakah, kita berpegang kepada etika kewartawanan yang telah pun dipupuk dan diajar kepada kita semenjak kita mula-mula menulis.

“Yakinlah bahawa wartawan yang berani itu, yang melaporkan apa yang adil dan juga apa yang perlu dilaporkan, itulah yang akan dikenang di dalam sejarah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2025

- Advertisement -