HIV di hujung jari: Bahaya aplikasi temu janji

- Advertisement -

PADA zaman moden ini, penyebaran HIV menjadi semakin pesat selari dengan kepesatan teknologi media masa. Kalau dahulu, hubungan sesama manusia agak sukar, tetapi sekarang pengaruh media massa, pelbagai aplikasi seksual dan pelbagai kumpulan yang mempunyai minat yang sama menjadikan berhubung semakin mudah. Walau bagaimanapun, perhubungan yang semakin mudah in menjadikan hubungan bebas semakin berleluasa. Malaysia berada di ambang satu cabaran kesihatan awam yang semakin meruncing.

- Advertisement -

Masalah ini bukan sahaja semakin membimbangkan di negara ini, malah menjadi kegusaran di seluruh dunia. Atas faktor ini juga UNAIDS telah menggariskan matlamat ‘Get To Zero’ yang menyasarkan visi global untuk menghapuskan AIDS daripada menjadi ancaman kesihatan awam menjelang tahun 2030. Visi mencapai sifar jangkitan baharu, sifar diskriminasi dalam capaian rawatan AIDS dan sifar kematian berkaitan AIDS bukanlah sekadar mimpi di siang hari, namun ia adalah sasaran yang mampu dicapai dengan strategi yang tepat dan penglibatan menyeluruh daripada setiap lapisan masyarakat. Walaupun terdapat sedikit kemajuan dalam hal ini, realiti di lapangan menunjukkan bahawa kita masih berhadapan dengan halangan yang signifikan dan memerlukan perhatian segera dan tindakan berani yang mungkin mengakibatkan tentangan daripada sesetengah pihak.

Berdasarkan laporan Global AIDS Monitoring 2024 Malaysia, unjuran peningkatan HIV akan terus berlaku sehingga tahun 2030 dan kumpulan MSM merupakan penyumbang utama kepada epidemik ini.  Lebih 60 peratus daripada kes HIV yang didiagnosis adalah berpunca daripada hubungan homoseksual dan biseksual. Angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk kita bersama menangani tingkah laku berisiko yang menyumbang kepada penularan HIV.

Terdapat kajian yang telah menunjukkan penggunaan media sosial dan aplikasi janji temu menjadi faktor yang menyumbang terhadap peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan MSM. Ini disebabkan terdapatnya rangkaian sosial dan seksual yang meluas yang menyediakan ruang dan peluang untuk golongan ini terlibat dalam perilaku berisiko. Isu sebeginilah yang membawa kepada cabaran yang lebih kompleks dari sudut kesihatan awam walaupun pelbagai usaha pencegahan dan rawatan telah dilakukan.
Penggunaan aplikasi temu janji oleh MSM menimbulkan cabaran besar bagi usaha pencegahan dan kawalan HIV dan sexually transmitted disease (STI) di Malaysia.

Capaian yang terhad kepada golongan ini dan ditambah dengan sifat anominiti aplikasi sebegini mengakibatkan intervensi kesihatan sukar dilaksanakan. Selain itu, golongan ini juga mempunyai persepsi bahawa mereka kurang berisiko dijangkiti HIV, dan mendapat maklumat yang salah terhadap penyakit HIV serta tidak membincangkan status HIV dengan pasangan yang baru dikenali terutama sekali sekiranya perkenalan itu bermula melalui aplikasi turut meningkatkan risiko penularan HIV.
Sehubungan itu langkah yang lebih serius perlu diambil dalam membendung penularan HIV disebabkan oleh penggunaan aplikasi atas talian oleh kumpulan berisiko ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai badan yang memainkan peranan penting dalam mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia turut menggalas tanggungjawab untuk menguatkuasakan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Ini termasuk bekerjasama dengan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) untuk menyekat akses kepada web dan aplikasi atas talian yang menggalakkan aktiviti hubungan seks di antara lelaki dengan lelaki (MSM) yang seterusnya dapat meningkatkan penularan HIV dan juga lain-lain penyakit serius yang lain seperti siflis, gonorea dan M-Pox. Data menunjukkan bahawa ribuan laman web pornografi telah berjaya disekat oleh SKMM sebelum ini, dan ini memberikan harapan bahawa pihak SKMM mampu melaksanakan perkara yang sama untuk laman-laman sebegini dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran akhiri AIDS menjelang tahun 2030.

Dari sudut pandangan Islam, setiap perbuatan yang boleh membawa kemudaratan kepada individu atau masyarakat wajib dielakkan. Hubungan seksual luar nikah, termasuk hubungan sesama jenis (homoseksual), jelas ditegah dalam Islam kerana bertentangan dengan fitrah manusia dan menyebabkan kerosakan sosial serta kesihatan.
Manakala hubungan sejenis merupakan salah satu daripada kegiatan yang diharamkan dalam Islam seperti yang digambarkan dalam kisah kaum Nabi Lut AS. Perbuatan ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip moral Islam, malah menyumbang kepada penyebaran penyakit seperti HIV/AIDS. Firman Allah SWT:

“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah (keji) itu yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelummu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada perempuan. Sungguh, kamu adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah Al-A‘raf: 80-81)
Islam menegaskan bahawa penjagaan nyawa (ḥifẓ al-nafs) adalah antara lima Maqasid al-Shariah yang utama, dan ditegaskan dengan kewajipan mencegah daripada penyakit dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti atau perkara yang boleh mengakibatkan kemudaratan.
Sabda Rasulullah SAW:

“Janganlah kamu membahayakan (orang lain), dan janganlah pula kamu membiarkan diri kamu dibahayakan.” (Hadith riwayat Ibn Majah)

Aplikasi temu janji yang mendorong kepada aktiviti seksual bebas, terutamanya dalam kalangan MSM, menjadi saluran yang membuka ruang kepada perbuatan dosa dan penyakit. Penggunaan teknologi untuk tujuan yang menyalahi syariah dan menjadi satu wasilah kepada maksiat yang juga diharamkan. Disebabkan itu, pihak berkuasa dalam sebuah negara Islam bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan awam dan menutup pintu kepada kemungkaran, termasuk menyekat akses kepada laman atau aplikasi yang menjurus kepada perbuatan haram.

Penulis
PROF. MADYA DR. ASPALILAH ALIAS
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia
Timbalan Presiden II PAPISMA

DR. JANNATUL MADIHAH ABU BAKAR
Pensyarah IMU
Setiausaha WARAK Malaysia – HARAKAHDAILY 20/6/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -