Kelantan semarak kelangsungan buat perjuangan Palestin

Echo of Palestine

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bumi Serambi Makkah sekali lagi membuktikan kepekaannya terhadap penderitaan umat Islam apabila menjadi medan perhimpunan antarabangsa Echo of Palestine: International Muslim Youth Summit di Hotel H Elite, di sini.

- Advertisement -

Majlis menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara itu disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Zamakhshari Muhammad yang menegaskan bahawa sidang ini medan ruhani menghidupkan semula roh perjuangan Islam.

“Persidangan ini bukan sekadar sebuah acara. Ia adalah himpunan rohani, simbol solidariti, dan suara dari Timur yang menyapa hati-hati yang luka di Tebing Barat,” ujar beliau di hadapan para hadirin yang terdiri daripada aktivis, ulama, pelajar dan pemimpin masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap tangisan dan jeritan dari bumi Gaza bukan sekadar berita lalu di kaca TV, tetapi isyarat untuk seluruh umat Islam agar bangkit berperanan.

“Tangisan dari Gaza bukan gema kosong di padang pasir, tetapi seruan untuk bertindak. Ia menyedarkan kita bahawa umat ini umpama satu tubuh – bila satu anggota sakit, seluruh jasad turut merasa peritnya,” ujarnya.

Ucapan beliau turut menyentuh secara khusus kepada para belia Kelantan, yang disifatkan sebagai harapan negeri dan pewaris dakwah dan tarbiah ditinggalkan oleh Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Wahai anak muda Kelantan, kamu adalah harapan negeri dan khalifah masa depan. Di tangan kamu terletaknya warisan Tok Guru – nilai keikhlasan, kerendahan hati, dan kesetiaan tanpa kompromi kepada Islam.

“Biarlah persidangan ini menjadi pengisytiharan — bahawa kita bersama yang tertindas, kita tidak akan diam terhadap kezaliman, dan kita akan menggema suara mereka yang bisu, bukan hanya di Gaza, tetapi di seluruh penjuru dunia yang dikuasai zalim,” ujarnya.

Persidangan antarabangsa yang berlangsung selama dua hari ini membawa tema “A Voice of the Voiceless”, menampilkan tokoh-tokoh tersohor dari Palestin, Turkiye, Mesir, Indonesia dan United Kingdom.

Pelbagai sesi panel, forum ilmiah, lawatan lapangan dan wacana strategik diadakan, menjadikan sidang ini medan penyatuan gerakan anak muda Islam sejagat.

Lebih penting, satu resolusi besar dirangka bersama — sebagai dokumen rujukan perjuangan umat, berpaksikan prinsip Islam, untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis laknatullah.

Kelantan, dengan ruh dakwah dan siasah Islamiyahnya, terus menjadi benteng perjuangan yang menyambung lidah para ulama, membangkitkan kesedaran ummah dan memartabatkan suara Islam dalam pentas dunia. – HARAKAHDAILY 22/6/2025

- Advertisement -