PAS kecam serangan Amerika Syarikat ke atas Iran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) yang telah melancarkan serangan dan pencerobohan terhadap Republik Islam Iran, awal dinihari ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian susulan serangan AS ke atas tiga kawasan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Esfahan.

“Tindakan ini bukan sahaja melanggar kedaulatan Iran, malah merupakan satu bentuk jenayah perang yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malah serangan ini menyerlahkan sikap sebenar Amerika Syarikat dan sekutunya Israel sebagai pengganas yang tidak mempedulikan undang-undang dan nilai kemanusiaan sejagat.

“PAS menuntut ketegasan di pihak Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk segera menghentikan tindakan tidak bertamadun ini.

“Serta mengecam keangkuhan Amerika Syarikat, sekutu kuat regim haram Israel, terhadap situasi terkini yang boleh mengancam prospek keamanan dunia,” tegas beliau.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan memberi masa dua minggu kepada Iran sebelum melancarkan serangan ke atas Republik Islam itu. – HARAKAHDAILY 22/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -