Mahasiswa akan berhimpun protes dasar tindas rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memberi amaran akan menggerakkan demonstrasi sebagai tindak balas terhadap pelbagai dasar kerajaan yang disifatkan sebagai menindas rakyat.

- Advertisement -

Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS, Muhammad Ammar Hafizi Azmi, berkata rakyat kini berada di ambang kesabaran susulan tekanan hidup yang kian menghimpit dari segenap sudut tanpa tindakan konkrit kerajaan untuk meredakan beban.

“Penarikan subsidi keperluan asas, perluasan serta peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik dan air, serta kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal telah menjerut kehidupan rakyat marhaen dari segenap arah.

“Keadaan ini menjadi lebih parah apabila kerajaan dilihat terus menyekat hak bersuara rakyat, mengenakan intimidasi terhadap pengkritik dan tidak menunjukkan sebarang usaha tuntas untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.

“Belum sempat rakyat ingin membina semula ekonomi yang merosot sebelum ini, sekali lagi kerajaan zalim pada hari ini datang dengan satu polisi yang menekan dan mendesak rakyat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Muhammad Ammar berkata, segenap lapisan rakyat hari ini terus ditekan dan ditekan dengan polisi durjana ini.

“Melihat kecelaruan yang berlaku ini, seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia perlu bersatu untuk memperjuangkan isu ini kerana mahasiswa adalah ejen perubahan.

“Bukan pembangkang sahaja, malah kami juga akan menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan Madani yang gagal lagi zalim ini. Maka, satu demonstrasi akan dibuat sebagai gelombang awal mahasiswa terhadap isu ini,” katanya.

Tambah beliau, demonstrasi ini merupakan manifestasi suara rakyat yang tidak lagi mampu bertahan dengan tekanan berterusan dan satu desakan agar kerajaan segera menghentikan dasar-dasar menzalimi rakyat.

“Kami melihat keengganan kerajaan untuk mendengar keluhan rakyat hanyalah akan menyemarakkan lagi kemarahan,” katanya.

Beliau berkata, simbolik #TEKAN digunakan sebagai gambaran terhadap beban yang dipikul rakyat saban hari akibat keputusan dan dasar ekonomi kerajaan yang tidak pro-rakyat.

“la juga mencerminkan bahawa rakyat kini telah hilang sabar dan bersedia untuk menekan kembali kerajaan yang enggan berubah.

“Tiba masanya rakyat bangkit menunjukkan bahawa suara mereka bukan sahaja sah dari segi undang-undang, bahkan wajib dipertahankan dari terus dibungkam,” katanya.

Justeru, GAMIS menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya anak muda, mahasiswa dan golongan pekerja untuk bersama turun ke jalan untuk menyertai gelombang suara rakyat ini.

“Jika kerajaan memilih untuk terus menekan rakyat, maka rakyat tidak akan gentar untuk menekan kembali kerajaan demi menuntut keadilan dan pembelaan.

“Demonstrasi ini bukan sekadar tunjuk rasa, ia adalah mesej tegas bahawa rakyat tidak lagi rela dipijak dan dizalimi,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2025

- Advertisement -