
KUALA LUMPUR: Profesion kewartawanan merupakan kerjaya yang mulia serta memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pelbagai pihak berkepentingan dan masyarakat umum.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, tanpa sumbangan dan peranan aktif pengamal media, orang awam sukar untuk mendapatkan perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.
“Saya akui juga peranan dimainkan wartawan dengan pihak kerajaan sangat dititikberatkan. Segala info dan maklumat berkaitan kerajaan khususnya kerajaan negeri perlu dihebahkan kepada rakyat.
“Di Perlis, saya sangat berpuas hati dengan rakan wartawan dan pengamal media yang banyak memberikan kerjasama dalam menyebarkan hal-hal berkaitan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian di Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, di sini lewat malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil dan Penasihat Komunikasi SG4, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pegawai Eksekutif Harakah, Ahmad Fadhli Shaari.
Tambah Mohd Shukri, kemunculan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat telah mengubah landskap kewartawanan dan membuka ruang baharu untuk pemberitaan pantas dan menyeluruh.
“Namun kita juga perlu sedar bahawa teknologi ini memberi cabaran besar khususnya dalam soal ketulenan maklumat, privasi dan yang paling utama iaitu etika.
“Prinsip tabayyun seharusnya menjadi asas dalam amalan kewartawanan terutama ketika berita boleh tular sekelip mata dalam media sosial dan platform digital,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2025











